FESTIVAL BURUNG BORNEO KE-16 CATAT PENYERTAAN TERTINGGI BIRD RACE SEJAK 2009

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN, 8 November – Festival Burung Borneo (BBF) edisi ke-16 mencatat pencapaian membanggakan apabila acara Bird Race tahun ini menarik penyertaan kira-kira 45 pasukan sekali gus menjadi penyertaan tertinggi sejak festival itu mula dianjurkan pada 2009.

Festival berlangsung selama dua daripada 7 dan 8 November di Rainforest Discovery Centre (RDC) Sepilok dengan kehadiran ribuan pengunjung terdiri daripada peminat pemerhatian burung, jurugambar hidupan liar, pelajar dan keluarga dari dalam serta luar negara.

Penyertaan Bird Race kali ini turut memperlihatkan sambutan antarabangsa apabila menghimpunkan peserta dari Malaysia, Filipina, China, Taiwan, Singapura, Vietnam dan New Zealand yang berkongsi minat terhadap kepelbagaian spesies burung di Borneo.

Selain Bird Race, festival berkenaan turut menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran, ceramah pendidikan, aktiviti fotografi burung, Bird Run serta program interaktif untuk keluarga dan kanak-kanak.

Kira-kira 300 peserta menyertai Borneo Bird Run sejauh 12 kilometer di sekitar kawasan Sepilok selain sesi perkongsian pengalaman oleh jurugambar dan penulis fotografi burung terkenal dari rantau ini.

Penganjuran festival itu bukan sekadar meraikan keunikan spesies burung malah menjadi platform meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemuliharaan hutan dan biodiversiti.

Burung memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem termasuk membantu penyebaran benih, pendebungaan, mengawal populasi serangga serta menjadi petunjuk kepada tahap kesihatan persekitaran hutan.

Dalam masa sama aktiviti pemerhatian burung atau birdwatching turut mempunyai potensi besar dalam merancakkan pelancongan berasaskan alam semula jadi sekali gus membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat.

Antara sektor yang menerima manfaat termasuk perkhidmatan pemandu pelancong, pengusaha inap desa, penyedia pengangkutan serta perniagaan makanan dan perkhidmatan berkaitan pelancongan.

Festival Burung Borneo ke-16 dianjurkan bersama Sandakan Borneo Bird Club (BoBC) dan Jabatan Perhutanan Sabah dengan sokongan Lembaga Pelancongan Sabah di bawah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS).

Penganjuran itu terus memperkukuh kedudukan Sandakan, khususnya Sepilok sebagai antara destinasi pemerhatian burung utama di rantau ini selain mengangkat kepentingan pemuliharaan warisan biodiversiti untuk generasi akan datang.

Share This Article