LAHAD DATU, 9 November – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Lahad Datu terus memperkukuh kemahiran pengendalian senjata api dalam kalangan anggotanya menerusi penganjuran Program Ujian Kemahiran Menembak Senjata Kecil (UKMSK) Siri 2/2026 di Lapang Sasar Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA), di sini baru-baru ini.
Program itu turut menjadi platform mempererat hubungan kerjasama antara agensi penguatkuasaan, jabatan kerajaan serta rakan media melalui penglibatan bersama dalam aktiviti menembak.
Majlis perasmian disempurnakan Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen @ Benetty B. Mohd Dzul.
Turut serta dalam UKMSK Siri 2/2026 turut dihadiri Hakim Mahkamah Sesyen Lahad Datu, Suhailla Selag serta Penolong Kanan Penguasa Bomba, Sumsoa bin Rashid.
Pengarah Maritim Zon Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar bin Ali dalam ucapannya berkata program berkenaan bertujuan memberikan pendedahan secara langsung kepada peserta mengenai prosedur dan tatacara pengendalian senjata api sebenar dengan menitikberatkan aspek keselamatan.
Menurutnya, penggunaan peluru hidup bagi kategori pistol dan senjata kecil dalam program itu bukan sahaja memberikan pengalaman praktikal kepada peserta malah menuntut disiplin, fokus serta kawalan diri yang tinggi.
Peserta turut berpeluang menguji kemahiran menerusi tiga acara utama iaitu Precision (ketepatan menembak), Rapid Fire (tembakan pantas) dan Falling Plate (sasaran piring jatuh) menggunakan senjata jenis 14K SFP9-SF.
Dalam keputusan pertandingan, Zulhafiz Brahim Wakil Astro Awani muncul pemenang bagi acara individu Rapid Fire manakala Kumpulan Abang Bomba menjuarai acara Falling Plate.
Terdahulu taklimat keselamatan disampaikan oleh BK(M) Nizam bin Mohamed Uyob yang menekankan kepentingan pematuhan protokol kecemasan, kawalan senjata serta penggunaan kelengkapan perlindungan sepanjang aktiviti berlangsung.
Program itu turut mendapat penyertaan pengamal media daripada Bernama, TVS, Astro AWANI dan Sabah Headlines.
Penganjuran UKMSK Siri 2/2026 diharap dapat meningkatkan tahap kesedaran dan kecekapan dalam pengendalian senjata api, selain terus memperkukuh hubungan silaturahim serta kerjasama strategik antara agensi dan rakan media.
