VICTOR SANJOS TERAJUI PDRM SABAH, ABDUL FUAD KOMANDER ESSCOM BAHARU

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 7 November – Anak jati Keningau, Datuk Victor Sanjos dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah, manakala SAC Datuk Abdul Fuad Abdul Malek pula mengambil alih tugas Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) sekali gus membawa perubahan kepimpinan dalam struktur keselamatan negeri itu.

Victor akan memangku pangkat Komisioner Polis (CP) bagi menerajui Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sabah manakala Abdul Fuad memangku pangkat Deputi Komisioner Polis (DCP) untuk mengetuai ESSCOM.

Victor dijadualkan melapor diri dan mengambil alih tugas berkenaan selepas penyandang jawatan itu, Datuk Jauteh DIKUN yang bersara wajib pada 11 November ini.

Pelantikan Abdul Fuad pula menyusul susulan kekosongan jawatan Komander ESSCOM yang ditinggalkan Victor selepas beliau diberikan tanggungjawab baharu menerajui IPK Sabah.

Victor yang berasal dari Kampung Ranggom, Apin-Apin, Keningau berketurunan Dusun Kujau dan memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dengan Kepujian dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau mempunyai pengalaman lebih 28 tahun dalam perkhidmatan kepolisan dengan pernah memegang beberapa jawatan penting termasuk Timbalan Pengarah (Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman serta Timbalan Ketua Polis Kelantan.

Malah beliau mencatat sejarah sebagai anak Sabah pertama yang diberi kepercayaan menerajui usaha penubuhan Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Unit Forensik Komputer di Bukit Aman pada 1997.

Pengalaman beliau di Sabah turut merangkumi perkhidmatan di ESSCOM sebagai Timbalan Ketua Staf Pasukan Siasatan Khas/Teknikal dari 2015 hingga 2019 sebelum dilantik sebagai Komander ESSCOM pada 2023.

Sementara itu, Abdul Fuad sebelum ini bertugas sebagai Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Kontinjen Sabah selain pernah memegang jawatan Ketua Polis Daerah Sandakan.

Beliau kini diberikan tanggungjawab mengetuai pasukan keselamatan yang berperanan menyelaras operasi keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).

ESSCOM mempunyai peranan penting dalam menangani pelbagai ancaman keselamatan di pantai timur Sabah termasuk pencerobohan, penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.

Pertukaran kepimpinan berkenaan memberi tanggungjawab baharu kepada Victor dan Abdul Fuad dalam usaha memperkukuh aspek keselamatan serta memastikan ketenteraman awam di Sabah terus terpelihara.

Share This Article