DISCOVER TUNGKU LAHAD DATU TARIK PERHATIAN PEMPENGARUH ANTARABANGSA

sabahheadlines
3 Min Read

LAHAD DATU, 5 November – Keunikan alam semula jadi, kebudayaan dan warisan masyarakat tempatan bakal diketengahkan menerusi penganjuran Mistical Bayu 2026 sekali gus memperkasa potensi pelancongan luar bandar di daerah ini khususnya kawasan Tungku.

Pengarah Urusan Seri Borneo, Mariati Utik berkata, program berkenaan merupakan inisiatif promosi pelancongan jangka panjang selama tiga tahun yang dirancang bagi membangunkan destinasi pelancongan luar bandar serta meningkatkan penglibatan komuniti setempat.

Menurutnya, penganjuran program itu bukan sekadar bertujuan menarik kedatangan pelancong malah membuka peluang ekonomi, merancakkan pembangunan komuniti dan memperkenalkan identiti budaya masyarakat tempatan.

Katanya, Mistical Bayu turut menjadi platform kerjasama antara pengusaha pelancongan, komuniti setempat, agensi kerajaan, persatuan kebudayaan, penggiat seni serta pengamal media.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada majlis Hi-Tea Mistical Bayu 2026, Discover Lahad Datu di sini, Khamis.

Bagi memperluaskan capaian promosi, pihak penganjur turut membawa masuk beberapa pempengaruh tempatan dan antarabangsa bagi mengetengahkan keindahan serta potensi pelancongan Lahad Datu menerusi platform media sosial.

Antara yang terlibat ialah malim gunung Sabah, Jvy Waterproof dan Sam Kinabbalu yang turut aktif dalam bidang perfileman tempatan selain pempengaruh serta penyanyi dari Amerika Syarikat, Terry Pernell.

Penglibatan mereka dijangka membantu meningkatkan publisiti serta memperluaskan promosi destinasi pelancongan di daerah ini khususnya kawasan Tungku kepada khalayak lebih luas.

Mariati berkata, pembangunan sektor pelancongan Lahad Datu perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan menggabungkan tarikan alam semula jadi, kebudayaan dan warisan masyarakat tempatan.

Antara komuniti serta pengusaha pelancongan yang turut terlibat ialah Pulau Buta Ecotourism dan Tebah Batang Water Village.

Program itu turut mendapat penglibatan persatuan kebudayaan termasuk Persatuan Bajau Balangingi, Persatuan Bajau Sikubung dan Persatuan Dusun Begak.

Menurutnya, usaha memperkenalkan keunikan etnik serta budaya tempatan penting bagi mewujudkan tarikan tambahan kepada pelancong selain keindahan alam semula jadi yang terdapat di kawasan berkenaan.

Beliau berharap Mistical Bayu dapat terus berkembang dan diperluaskan pada penganjuran tahun hadapan dengan melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama, Tungku dan Silam.

Katanya, usaha berkenaan diharap mampu membawa perubahan positif terhadap pembangunan industri pelancongan Lahad Datu sekali gus memberikan manfaat ekonomi berterusan kepada komuniti setempat dan generasi akan datang.

Share This Article