KUALA LUMPUR,29 Oktober – Ahli Parlimen Sabah mendesak Kerajaan Persekutuan mengkaji semula keputusan membatalkan proses tender projek Jalan Luar Bandar (JALB) di negeri itu bagi memastikan pembangunan infrastruktur luar bandar dan kepentingan rakyat tidak terjejas.
Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick berkata keputusan pembatalan tender membabitkan 13 projek JALB di Sabah dengan nilai peruntukan keseluruhan RM1.716 bilion.
Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan turut perlu menyalurkan baki peruntukan bagi membantu memulihkan modal pusingan kontraktor tempatan yang terjejas akibat tunggakan bayaran projek.
“Sebanyak 112 projek JALB di seluruh negara kini mengalami tunggakan bayaran interim kepada kontraktor serta pampasan tanah membabitkan jumlah keseluruhan RM259.503 juta.
“Yang lebih mengejutkan, Wilayah Sabah mencatatkan tunggakan paling parah iaitu RM118.84 juta membabitkan 35 projek,” katanya pada sidang media Ahli Parlimen Sabah di sini.
Menurut Ewon, walaupun Kementerian Kewangan mengumumkan suntikan tambahan, peruntukan berkenaan masih belum dapat menutup tunggakan sedia ada yang kritikal.
Katanya, keadaan itu menyebabkan Kerajaan Persekutuan mengambil dua langkah yang memberi kesan langsung terhadap pelaksanaan projek JALB, termasuk pembatalan proses tender berskala besar dan penangguhan pengeluaran Surat Setuju Terima (SST).
“Pertama, pembatalan proses tender berskala besar membabitkan 40 projek di seluruh negara dengan nilai peruntukan keseluruhan RM5.144 bilion.
“Pembatalan tender ini menjejaskan 13 projek JALB di Sabah dengan nilai peruntukan RM1.716 bilion,” katanya.
Beliau berkata, langkah kedua ialah penangguhan SST bagi 87 projek di seluruh negara dengan nilai peruntukan RM8.096 bilion.
Katanya, arahan membekukan pengeluaran SST itu turut memberi kesan kepada tujuh projek JALB di Sabah membabitkan nilai peruntukan RM548.85 juta.
Ewon berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan semula keputusan berkenaan kerana projek JALB amat penting dalam menyediakan kemudahan asas dan meningkatkan hubungan antara kawasan luar bandar dengan pusat pertumbuhan ekonomi.
“Kami tidak akan berdiam diri dan akan terus mendesak dalam Dewan Parlimen supaya hak rakyat luar bandar Sabah tidak dinafikan.
“Kerajaan Persekutuan perlu mengkaji semula status pembatalan tender projek ini dan memastikan pembangunan luar bandar Sabah dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Sidang media itu turut disertai Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau; Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda; Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Mohd Kurniawan Naim Moktar; Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Hajah Siti Aminah Aching dan Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir.
