KUALA LUMPUR, 22 Oktober – Kewujudan sebuah Lembaga Penasihat Pengurusan di Perpustakaan Negeri Sabah (PNS) disifatkan sebagai langkah strategik yang mendesak bagi memperkasakan lagi peranan serta keberkesanan institusi berkenaan dalam mendepani cabaran pemikiran dan dinamika sosial masyarakat hari ini.
Ahli Lembaga Penasihat Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Datuk Jasni Matlani berkata, walaupun PNS bertaraf sebuah Jabatan Kerajaan Negeri berbeza dengan Pustaka Negeri Sarawak yang berstatus Badan Berkanun, model pentadbiran yang merangkumi penubuhan Lembaga Penasihat wajar diterapkan.
Beliau yang juga Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah, menjelaskan, tadbir urus berteraskan penasihat luar amat berkesan seperti yang diamalkan oleh PNM, sebuah jabatan kerajaan di peringkat Persekutuan yang kekal disokong oleh kepakaran dan pandangan strategik Ahli Lembaga Penasihat.
“Lembaga Penasihat memainkan peranan penting dalam memberikan sumbangan idea, pandangan strategik, serta semak dan imbang agar sesebuah perpustakaan negeri dapat bergerak lebih proaktif, dinamik dan relevan dengan keperluan zaman,” katanya.
Jasni berkata demikian dalam satu kenyataan media selepas menghadiri Mesyuarat Ahli Lembaga Penasihat Perpustakaan Negara Malaysia di ibu negara, hari ini.
Jasni menegaskan, persepsi tradisional yang memandang perpustakaan sekadar pejabat atau tempat menyimpan khazanah cetak perlu diubah secara menyeluruh.
Menurut beliau, perpustakaan pada era moden menuntut pendekatan yang lebih inklusif dan mesra masyarakat untuk menyantuni pelbagai lapisan warga Sabah.
“Perpustakaan masa kini merupakan agen perpaduan yang amat berkesan. Ia bukan lagi sekadar tempat menyimpan buku, sebaliknya bertindak sebagai premis percambahan fikiran yang sihat, pusat integrasi sosial, serta wahana menyatupadukan rakyat pelbagai kaum dan latar belakang melalui pelbagai aktiviti kebudayaan dan keilmuan,” tegas beliau.
Mengulas lanjut, Jasni berkata perpustakaan negeri perlu memikul tanggungjawab besar sebagai penyebar maklumat yang sah dan sahih kepada masyarakat, terutamanya ketika negara berdepan arus lambakan maklumat palsu di alam maya.
Sehubungan itu, PNS diseru membina jaringan kerjasama yang lebih luas dan mampan dengan pelbagai pihak termasuk institusi pendidikan, badan bukan kerajaan (NGO), serta penggiat persatuan penulis dan bahasa.
“Langkah membina rangkaian yang lebih kukuh ini penting bagi memperkasakan agenda pendidikan dan pemerkasaan ilmu berteraskan semangat Iqra’. Perpustakaan wajar menjadi nadi utama dalam membina masyarakat berilmu (knowledge-based society) yang kritis dan berdaya saing,” tambah beliau.
Bagi memastikan kehadiran pengunjung di PNS terus meningkat, Jasni menyaran agar prasarana dan suasana ruang perpustakaan ditingkatkan supaya lebih kondusif, moden, serta mesra rakyat.
Transformasi persekitaran itu, jelas beliau, perlu disesuaikan dengan cita rasa, gaya hidup dan kecenderungan generasi muda hari ini yang dahagakan ruang pembelajaran interaktif, berteknologi dan selesa.
“Kita mahu perpustakaan di Sabah menjadi ruang legar ilmu yang segar, menarik dan ‘vibrant’, sebagai sebuah destinasi tumpuan anak muda untuk berdiskusi, menelaah pelajaran, berfikir, berinovasi, dan berkarya. Apabila perpustakaan dijadikan ruang sosial-keilmuan yang mesra generasi muda, kadar celik huruf, minat membaca, serta bilangan pengunjung ke perpustakaan pasti akan melonjak secara mendadak,” ujar beliau.
Penglibatan tokoh-tokoh bahasa, sastera dan akademik menerusi penubuhan Lembaga Penasihat di PNS diyakini mampu melonjakkan lagi keberkesanan perpustakaan tersebut sebagai pusat kecemerlangan ilmu dan wahana perpaduan bangsa di negeri Sabah, kata Jasni.
