KOTA KINABALU, 19 Oktober – Dua individu, masing-masing lelaki berusia 53 tahun dan wanita berusia 24 tahun, maut selepas kereta Toyota Avanza yang dinaiki mereka dihempap sebuah kontena dalam kemalangan di Jalan Pelabuhan Sepanggar Bay, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.31 petang itu kontena berkenaan dilaporkan terbalik bersama sebuah lori treler ketika kerja-kerja menaikkan kontena dari tepi jalan ke atas treler sedang dilakukan.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, kejadian dipercayai berlaku akibat ketidakseimbangan ketika proses menaikkan kontena, menyebabkan lori treler bersama muatannya terbalik sebelum menghempap Toyota Avanza yang sedang melalui jalan berkenaan.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu bergegas ke lokasi dan tiba pada jam 7.01 malam sebelum menjalankan operasi menyelamat bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit di dalam kenderaan.
Bagaimanapun, operasi mengangkat kontena berkenaan memerlukan bantuan kren bagi membolehkan pasukan penyelamat mengeluarkan mangsa dengan selamat.
Dua buah kren tiba di lokasi pada jam 9.21 malam bagi membantu mengangkat kontena yang menghempap kenderaan terbabit.
Selepas kenderaan berjaya dikeluarkan, pasukan bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa.
Kedua-dua mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi yang melibatkan 26 anggota bomba itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.30 malam selepas pihak bomba memastikan keadaan di lokasi selamat dan tiada lagi bahaya lain.
Operasi turut mendapat bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM.
Punca sebenar kejadian masih tertakluk kepada siasatan pihak berkuasa.
