SANDAKAN,16 Oktober – Sandakan memerlukan lebih banyak rangkaian penerbangan terus bagi menarik kedatangan pelancong, merancakkan aktiviti perniagaan dan memulihkan ekonomi tempatan.
Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Chong Thien Ming berkata hubungan udara yang lebih baik mampu membuka peluang baharu kepada sektor pelancongan khususnya pelancongan ekologi, warisan sejarah dan makanan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan, pihak berkuasa pelancongan dan syarikat penerbangan meneliti kebolehlaksanaan memperkenalkan laluan penerbangan terus Pulau Pinang–Sandakan, Johor–Sandakan dan Kuching–Sandakan.
Menurutnya, kemudahan penerbangan terus bukan sahaja memudahkan pelancong domestik berkunjung ke Sandakan malah berpotensi menggalakkan tempoh penginapan lebih panjang serta meningkatkan perbelanjaan pelancong di daerah itu.
Beliau berkata, Sandakan mempunyai pelbagai tarikan pelancongan termasuk Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok, beruang matahari Borneo, monyet belanda serta keunikan makanan laut tempatan.
Chong turut menggesa Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah serta Lembaga Pelancongan Sabah merangka pelan induk pelancongan jangka panjang bagi Sandakan.
Katanya, perancangan itu perlu merangkumi strategi pemasaran destinasi, kemudahan infrastruktur, rangkaian penerbangan dan pembangunan produk pelancongan yang mampu meningkatkan daya saing Sandakan.
Bagaimanapun beliau berkata, laluan penerbangan yang dicadangkan perlu dinilai berdasarkan permintaan penumpang dan daya maju komersial bagi memastikan kelangsungannya.
