SANDAKAN, 14 Oktober – Sempena sambutan Hari Sukan Negara 2026, Kelab Bola Sepak Gaman telah menganjurkan satu kejohanan perlawanan bola sepak empat penjuru yang berlangsung dengan penuh semangat kesukanan dan muhibah,melibatkan penyertaan empat pasukaniaitu Pendidikan FC Sandakan, Bomba Sandakan, Penjara Sandakan dan pasukan tuan rumah, Kelab Bola Sepak Gaman.
Penganjuran kejohanan ini bertujuan untuk memperkukuh perpaduan dan keharmonian masyarakat melalui aktiviti sukan yang menghimpunkan pelbagai kaum, bangsa, agama serta lapisan masyarakat.
Program ini turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim, memupuk semangat kerjasama dan menyemai nilai saling menghormati dalam kalangan peserta.
Dengan membawa slogan Bola Sepak Menyatukan Kita, Semangat Kebangsaan Mengukuhkan Perpaduan” kejohanan ini mencerminkan bahawa sukan bukan sekadar medan persaingan untuk merebut kemenangan, malah merupakan wadah penting dalam membina masyarakat yang bersatu padu, harmoni dan saling memahami.
Sepanjang kejohanan berlangsung, setiap pasukan telah menunjukkan komitmen, semangat juang dan disiplin yang tinggi. Persaingan yang berlangsung turut memperlihatkan nilai kesukanan serta semangat persaudaraan yang menjadi asas kepada kejayaan penganjuran program seumpama ini.
Berdasarkan keputusan keseluruhan perlawanan, Pendidikan FC Sandakan telah dinobatkan sebagai juara selepas berjaya mengutip mata penuh sebanyak 9 mata.
Tempat kedua disandang oleh Bomba Sandakan dengan kutipan 4 mata manakala Penjara Sandakan menduduki tempat ketiga dengan 3 mata.
Pasukan tuan rumah, Kelab Bola Sepak Gaman pula menamatkan kejohanan di tempat keempat dengan kutipan 1 mata.
Kelab Bola Sepak Gaman merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pasukan yang mengambil bahagian, para pemain, pihak pengurusan, penyokong serta semua individu yang telah memberikan sokongan dan kerjasama dalam menjayakan kejohanan ini.
Pihak penganjur berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha berterusan untuk menggalakkan gaya hidup sihat, memperluas jaringan persahabatan antara komuniti dan agensi serta menjadikan sukan sebagai medium penyatuan masyarakat.
