ATLET CILIK DARI LAHAD DATU BAWA PULANG EMAS SABAH MUAY THAI

sabahheadlines
1 Min Read

KOTA KINABALU,14 OKT – Kecil-kecil cili padi. Itu gambaran sesuai buat atlet cilik dari Lahad Datu, Muhammad Uwais Qarny Samsul Bahriy yang berjaya membawa pulang pingat emas pada Sabah Muaythai Expo di Palm Square, Centre Point Sabah, di sini.

Lebih dikenali sebagai Prince Uwais, atlet muda itu mencuri perhatian apabila beraksi dalam kategori 27 kilogram (kg), sedangkan berat badannya hanya 22kg.

Kejayaan itu membanggakan apabila Prince Uwais yang mewakili SFG Team membuktikan kemampuan dirinya untuk bersaing dalam sukan Muay Thai.

Walaupun masih muda, pencapaian berkenaan menjadi permulaan bermakna buat Prince Uwais untuk terus mengasah bakat serta meningkatkan kemahiran dalam sukan tempur itu.

Kemenangan pingat emas itu diharap menjadi pembakar semangat buat atlet cilik berkenaan untuk terus berusaha dan melakar lebih banyak kejayaan pada kejohanan akan datang.

“Allah kuasa makhluk langsung tak kuasa, semua dari Allah SWT kejayaan ini, terima kasih buat abah dan ibu saya serta jurulatih saya,alhamdulillah” kata Uwais ringkas.

Kejayaan Prince Uwais turut menjadi kebanggaan buat komuniti sukan di Lahad Datu, sekali gus membuktikan bakat anak tempatan berpotensi diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Sumber – Utusan Borneo

Share This Article