ENAM MANGSA CEDERA DALAM KEMALANGAN MEMBABITKAN HILUX DAN AXIA

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 12 Oktober – Enam individu, termasuk tiga kanak-kanak dan seorang bayi perempuan, cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah Toyota Hilux dan Perodua Axia di Jalan Kawakaan, Kota Kinabalu pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.49 pagi itu, dua lelaki yang menaiki Toyota Hilux dan empat individu dalam Perodua Axia dilaporkan mengalami kecederaan.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sebelum menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang ke lokasi.

Pasukan bomba yang terdiri daripada 10 anggota tiba di lokasi pada jam 7.10 pagi, kira-kira 21 minit selepas panggilan diterima.

Menurut maklumat operasi, dua mangsa lelaki yang berada dalam Toyota Hilux, masing-masing berusia 20 tahun dan seorang lagi yang identitinya belum diperoleh dilaporkan mengalami kecederaan parah.

Sementara itu empat mangsa dalam Perodua Axia terdiri daripada seorang wanita berusia 37 tahun yang memandu kenderaan berkenaan, seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dan seorang bayi perempuan berusia setahun.

Pemandu Axia serta dua kanak-kanak berkenaan turut dilaporkan mengalami kecederaan parah manakala bayi perempuan itu mengalami kecederaan ringan.

Semua mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan bomba sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut menggunakan jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) bomba dan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Operasi turut mendapat bantuan tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tiga anggota KKM.

Operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.57 pagi selepas pasukan bomba memastikan keadaan di lokasi kejadian selamat dan terkawal.

Share This Article