TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

sabahheadlines
4 Min Read

KOTA KINABALU,25 SEPT – Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) menyalurkan RM40 juta  bantuan sejak dilancarkan pada 2 Jun 2022 memberi manfaat secara langsung kepada  27,781 pelajar di seluruh negeri. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata bagi tempoh Januari  hingga Ogos tahun ini sahaja seramai 11,383 orang dari seluruh pelosok Sabah  menerima manfaat menerusi bantuan TPNS berjumlah RM15.89 juta. 

Beliau berkata, penubuhan TPNS berasaskan tema ‘Peluang Tajaan Untuk Semua’  terbukti menjadi satu instrumen penting dalam memperluas akses bantuan pendidikan  kepada rakyat. 

“Majlis ini penting kerana kita bukan sekadar menyampaikan bantuan tetapi kita sedang  membuka ruang dan peluang kepada anak-anak Sabah untuk terus belajar, mencapai  cita-cita dan membina masa depan. Inilah antara tanggungjawab besar Kerajaan Negeri  dalam membangunkan modal insan Sabah,” katanya ketika berucap pada Majlis  Penyampaian Bantuan TPNS dan Pelancaran Sistem TPNS Smart Application di  Menara Kinabalu, di sini, hari ini. 

Hajiji berkata, sesebuah negeri tidak akan dapat melangkah maju tanpa sistem  pendidikan yang kukuh dan berkualiti, kerana pembangunan negeri bukan hanya  mengenai pembinaan jalan, jambatan, bangunan dan infrastruktur. 

“Kita mesti melahirkan generasi yang berilmu, berkemahiran, berintegriti dan mampu  bersaing. Inilah pelaburan paling penting untuk masa depan Sabah,” katanya. 

Beliau berkata, komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan pendidikan turut  diterjemahkan menerusi Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) dengan peruntukan  RM155 juta tahun ini yang memberi manfaat kepada ribuan pelajar di pelbagai  peringkat khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik  (STEM). 

Katanya, peruntukan itu meningkat lebih tiga kali ganda berbanding RM50 juta pada  2020, manakala sepanjang 2021 hingga 2025, sebanyak 14 inisiatif berkaitan  pendidikan diperkenalkan antaranya Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI), Bantuan  Ihsan Komputer (BAIK) dan bantuan tiket penerbangan kepada pelajar Sabah di  Semenanjung, Sarawak dan Labuan.

Mengenai bantuan yang disampaikan hari ini, Hajiji berkata seramai 362 penerima dari  sekitar daerah Kota Kinabalu menerima manfaat berjumlah RM6.79 juta. 

“Penyerahan bantuan pendidikan ini merupakan bukti nyata bahawa kerajaan tidak  pernah membiarkan mana-mana anak Sabah tercicir daripada mendapat peluang  pendidikan yang sewajarnya,” katanya. 

Dalam perkembangan berkaitan Hajiji berkata gelombang transformasi digital dalam  penyampaian perkhidmatan pendidikan negeri dimulakan menerusi pelancaran Portal  Tajaan Pendidikan Sabah (PTPS) pada 2 Julai 2024. 

Katanya, PTPS bertindak sebagai ‘single window platform’ yang menghimpunkan lima  agensi penaja dan pemberi bantuan pendidikan utama negeri dalam satu platform  bersepadu. 

“Memperkukuh momentum pemodenan ini, pada hari ini kita melangkah setapak lagi ke  hadapan menerusi Pelancaran Sistem TPNS Smart Application,” katanya. 

Beliau berkata, aplikasi mudah alih itu membolehkan permohonan bantuan TPNS  dilaksanakan secara dalam talian sepenuhnya, selain pemohon boleh menyemak status  permohonan secara masa nyata dengan proses lebih telus dan mesra pengguna. 

“Dengan kemudahan ini, proses permohonan diharap menjadi lebih mudah, cepat dan  teratur, khususnya bagi anak-anak Sabah di seluruh pelosok negeri, terutama mereka  yang berada di kawasan luar bandar,” katanya. 

Hajiji turut menyeru lebih banyak syarikat korporat tempatan dan antarabangsa yang  beroperasi serta meraih keuntungan di Sabah tampil melaksanakan Tanggungjawab  Sosial Korporat (CSR) menerusi sumbangan kepada TPNS. 

Beliau berkata, kerjasama kerajaan negeri, sektor swasta, syarikat berkaitan kerajaan  (GLC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mampu membina ekosistem pendidikan  yang lebih kukuh untuk anak-anak Sabah. 

Hajiji turut menyifatkan ulang tahun ke-60 Kumpulan Yayasan Sabah tahun ini sebagai  pencapaian penting dengan agensi itu memainkan peranan dalam memperkasa rakyat  dan memacu pembangunan negeri menerusi pendidikan, pembangunan modal insan,  ekonomi, sosial serta pemuliharaan alam sekitar. 

Share This Article