SANDAKAN, 22 SEPT – Semangat Hari Malaysia terus disemarakkan menerusi Program Sukan Muhibbah Hari Malaysia 2026 yang menghimpunkan pengamal media dan warga Pusat Khidmat Rakyat N.51 Sungai Manila dalam suasana penuh kemeriahan di YS Futsal, Batu 8, di sini.
Program anjuran Persatuan Media Sandakan, Sabah (PEMASSA) dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat N.51 Sungai Manila itu bukan sahaja menyatukan peserta menerusi aktiviti sukan, malah menjadi wadah memperkukuh hubungan silaturahim dan kerjasama antara kedua-dua pihak.
Program berkenaan turut disertai barisan kepimpinan dan wakil organisasi, termasuk Pegawai Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) N.51 Sungai Manila, Rahmat Iskandar bin Ibrahim, yang mewakili ADUN N.51 Sungai Manila, Datuk Hazem Mubarak Tun Dr. Musa.
Bagi acara futsal, Team B Pusat Khidmat Rakyat muncul juara selepas menewaskan Team B Media dengan keputusan 3-2 dalam perlawanan akhir yang berlangsung sengit.
Sementara itu, acara bowling menyaksikan Pasukan PEMASSA muncul juara dengan kutipan keseluruhan 742 mata, diikuti Pasukan Pejabat DUN Sungai Manila di tempat kedua dengan 507 mata, manakala tempat ketiga turut direkodkan oleh Pasukan PEMASSA dengan 487 mata.
Anugerah Best Player/Highest Score pula dimenangi Arjasneh daripada Pasukan PEMASSA selepas mencatat 280 mata, hasil 130 jatuhan pin pada pusingan pertama dan 150 jatuhan pin pada pusingan kedua.
Turut mencuri perhatian ialah anugerah khas “Player Paling Kuat Ketawa” yang dimenangi Maizarah (Naina) daripada Pasukan Pejabat DUN Sungai Manila, sekali gus menceriakan suasana program.
Program itu mencerminkan semangat Hari Malaysia menerusi penglibatan bersama tanpa mengira latar belakang, selain menyemai nilai kesukanan, disiplin, kerjasama dan sikap saling menghormati.
UPPM N.51 Sungai Manila turut merakamkan penghargaan kepada PEMASSA, urus setia, peserta, penaja serta semua pihak yang menjayakan Program Sukan Muhibbah Hari Malaysia 2026.
