KOTA KINABALU, 21 SEPT – Pihak berkuasa pelancongan Sabah diarahkan segera meneliti status pelesenan serta aspek keselamatan dan sekuriti sebuah pusat penginapan di Semporna susulan kejadian membabitkan seorang pelancong dari China.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata semakan itu penting bagi memastikan sebarang kelemahan yang dikenal pasti dapat ditangani segera.
“Saya telah mengarahkan pihak berkuasa pelancongan yang berkaitan supaya segera melihat ke dalam pusat penginapan berkenaan termasuk status pelesenan dan langkah-langkah keselamatan serta sekuritinya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pihak berkuasa pelancongan turut diminta berkoordinasi dengan agensi penguat kuasa berkaitan sekiranya tindakan lanjut diperlukan.
Menurutnya, arahan berkenaan susulan kejadian yang dilaporkan membabitkan seorang pelancong dari China di sebuah pusat peranginan di Semporna.
Jafry berkata, beliau memandang serius kejadian itu dan menegaskan bahawa aspek keselamatan serta sekuriti setiap pelawat ke Sabah perlu terus menjadi keutamaan.
“Saya mengalu-alukan tindakan pantas pihak polis dalam menahan seorang suspek dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan menyeluruh tanpa sebarang spekulasi,” katanya.
Beliau berkata, sebarang kelemahan yang dikenal pasti hasil semakan berkenaan perlu ditangani tanpa berlengah.
Pada masa sama, Jafry mengingatkan pengusaha sektor pelancongan khususnya penyedia penginapan, supaya memastikan premis masing-masing menyediakan persekitaran yang selamat dan terjamin kepada tetamu.
Katanya, tanggungjawab berkenaan penting bagi memastikan aspek keselamatan pengunjung sentiasa diberi perhatian sepanjang mereka berada di premis penginapan.
Jafry berkata, langkah itu juga selari dengan usaha Sabah memperkukuh sektor pelancongan menjelang Tahun Melawat Sabah 2027 (TMS 2027).
“Menjelang Tahun Melawat Sabah 2027, kita tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan pelawat.
“Sabah mesti terus menjadi destinasi di mana para pelawat berasa selamat, dihormati dan dialu-alukan,” katanya.
