LAHAD DATU, 18 SEPT — Peserta Program Outreach Korektif Penjara Lahad Datu 2026 bukan sahaja diberi peluang membina semula kehidupan selepas dibebaskan malah disediakan laluan pekerjaan dengan gaji permulaan sekurang-kurangnya RM1,700 sebulan menerusi kerjasama strategik bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan majikan sektor swasta.
Pengarah Jabatan Penjara Negeri Sabah, Tey Hock Soon, berkata inisiatif itu bertujuan memastikan peserta mempunyai hala tuju yang jelas sebelum kembali ke pangkuan masyarakat termasuk peluang mendapatkan pekerjaan tetap berdasarkan kemahiran yang diperoleh sepanjang menjalani hukuman.
Beliau berkata, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk MyFutureJobs dan Program Penempatan Kerja Sama Korporat yang membuka ruang kepada peserta mendapatkan pekerjaan mengikut keperluan industri serta kemahiran masing-masing.
Menurutnya, peluang pekerjaan ketika ini banyak tertumpu dalam sektor perladangan khususnya di kawasan Lahad Datu, Kunak, Semporna, Tawau dan Sandakan.
“Di dalam penjara kami sediakan latihan kemahiran di bawah program TIW dan KESUMA.
Tetapi yang paling penting — mereka tidak keluar tanpa arah tuju. Ada kerja, ada pendapatan, ada harapan baru,” katanya., katanya kepada media selepas selesai program Outreach Korektif Penjara Lahad Datu Tahun 2026,pada jumaat.
Tey berkata, pendekatan berkenaan penting bagi membantu mengurangkan risiko peserta kembali melakukan kesalahan selepas dibebaskan selain memberi mereka peluang membina kehidupan yang lebih stabil dan berdikari.
Katanya, kadar jenayah berulang di peringkat nasional kini berada pada sekitar 12 hingga 13 peratus dalam tempoh tiga tahun dan usaha berterusan menerusi program korektif serta penempatan pekerjaan diharap dapat membantu mengurangkan kadar berkenaan.
Dalam masa sama, beliau mengakui isu kesesakan di beberapa fasiliti penjara masih menjadi cabaran yang perlu ditangani.
Bagaimanapun, katanya, fokus Jabatan Penjara tetap diberikan kepada aspek pemulihan, pembangunan kemahiran dan persediaan masa depan peserta supaya mereka dapat kembali ke masyarakat dengan lebih yakin.
Program Outreach Korektif Penjara Lahad Datu 2026 itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Haji Dr Haji Mohammad Yusof bin Apdal.
