PPM WILAYAH 4 SABAH BONGKAR SELUDUP MINYAK DIESEL BERNILAI RM 130,760.00

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN, 11 SEPT – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah melalui PPM Sandakan berjaya membongkar aktiviti disyaki penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam satu operasi di salah satu jeti di Sandakan, baru- baru ini.

Bertindak atas maklumat orang awam, kira-kira jam 3.55 petang PPM menjalankan risikan sebelum mengesan sebuah lori tangki dalam keadaan mencurigakan. Pemeriksaan lanjut mendapati sedang berlaku aktiviti pemindahan minyak diesel daripada sebuah kapal kargo ke lori tangki.

Dua lelaki berusia 25 dan 28 tahun ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen berkaitan sumber bekalan minyak diesel daripada pembekal yang sah semasa pemeriksaan dijalankan.

Dalam operasi tersebut, PPM merampas sebuah kapal kargo jenis besi, sebuah lori tangki Nissan Diesel berkapasiti 15,000 liter, kira-kira 28,000 liter minyak diesel serta beberapa peralatan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti berkenaan.

Jumlah keseluruhan rampasan termasuk kapal, kenderaan dan peralatan lain yang dipercayai digunakan dalam aktiviti tersebut dianggarkan bernilai RM2,082,760.00. Kes disiasat di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961.

Bagi tempoh Januari hingga September 2026, PPM Wilayah 4 Sabah telah merekodkan sebanyak 112 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, melibatkan 103 tangkapan dengan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM25,869,045.30.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah menegaskan bahawa PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebatkan risikan, pemantauan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyelewengan barangan kawalan serta memastikan bekalan bersubsidi tidak disalahgunakan atau diseleweng untuk kepentingan pihak tertentu.

Kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan amat dihargai dan menjadi elemen penting dalam membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang.

Share This Article