JBPM SABAH,KERAJAAN NEGERI PERKUKUH SINERGI HADAPI BENCANA

sabahheadlines
1 Min Read

KOTA KINABALU, 6 SEPT – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah terus memperkukuhkan kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri Sabah bagi meningkatkan aspek keselamatan, kesiapsiagaan menghadapi kecemasan dan pengurusan bencana di seluruh negeri.

Sehubungan itu Pengarah JBPM Negeri Sabah, PKPjB Pisar bin Aziz mengadakan kunjungan hormat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Zainudin Aman di Menara Kinabalu, di sini baru-baru ini.

Pertemuan tersebut antara lain bertujuan mengeratkan hubungan serta memperkukuhkan sinergi antara JBPM Sabah dengan Kerajaan Negeri khususnya dalam aspek pencegahan kebakaran, operasi penyelamatan, kesiapsiagaan bencana dan keselamatan masyarakat.

Sesi berkenaan turut menjadi platform untuk memperkenalkan barisan kepimpinan JBPM Negeri Sabah selain bertukar pandangan mengenai pengurusan keselamatan, kebombaan dan penyelamatan di negeri ini.

Perbincangan turut memberi penekanan terhadap keperluan mempertingkat tahap kesiapsiagaan dalam menghadapi pelbagai bentuk kecemasan dan bencana selaras dengan usaha memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

Kerjasama erat antara JBPM Sabah dan Kerajaan Negeri dilihat penting dalam memperkukuhkan keupayaan tindak balas serta memastikan pengurusan bencana dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan bersepadu.

Share This Article