KUALITI UDARA BURUK, EMPAT KAWASAN DI SABAH CATAT IPU TIDAK SIHAT

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 1 SEPT – Sebanyak empat lokasi di Sabah merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 8 pagi ini berikutan keadaan kualiti udara yang semakin merosot di beberapa kawasan di negeri ini.

Berdasarkan data terkini daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sabah, Kota Kinabalu mencatatkan bacaan tertinggi iaitu pada paras 171, diikuti oleh Kimanis dan Keningau yang masing-masing merekodkan bacaan 156 manakala Tawau berada pada tahap 132.

Kesemua kawasan berkenaan dikategorikan sebagai tidak sihat sementara Sandakan pula mencatatkan bacaan IPU 91 yang berada dalam kategori sederhana.

Susulan perkembangan tersebut, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah menasihatkan orang ramai terutamanya golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas, wanita mengandung serta individu yang mempunyai masalah pernafasan agar mengurangkan aktiviti di luar rumah dan mengelakkan sebarang aktiviti fizikal yang lasak.

Bagi individu yang terpaksa keluar rumah, mereka disarankan untuk memakai pelitup muka yang sesuai, meminum air yang secukupnya, menjaga kebersihan diri dan memastikan sistem pengudaraan di dalam bangunan berada pada tahap yang baik.

Dalam pada itu, JPBN Sabah turut mengingatkan masyarakat supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan sentiasa memantau bacaan IPU serta nasihat terkini daripada pihak JAS dan pihak berkuasa kesihatan.

Orang ramai yang mengalami gejala kesihatan seperti batuk, sesak nafas atau sakit dada diminta untuk segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan yang berhampiran.

Pihak JPBN Sabah akan terus memantau keadaan kualiti udara dari semasa ke semasa dan menggesa semua pihak mengambil langkah berjaga-jaga demi mengurangkan risiko kesihatan.

Share This Article