LAHAD DATU,31 OGOS – Empat dekad berlalu namun detik berdepan serangan sekumpulan lanun di Lahad Datu pada 1985 masih segar dalam ingatan seorang pesara Polis Marin yang ketika itu terlibat mempertahankan pangkalan serta keselamatan bandar berkenaan.
Pesara Inspektor, Rabaha bin Haji Matwali berkata kejadian pada 23 September 1985 itu berlaku kira-kira jam 2.15 petang apabila sekumpulan lanun mendarat di kawasan Kastam lama Lahad Datu sebelum melepaskan tembakan ke arah pangkalan lama Polis Marin.
Ketika kejadian, Rabaha yang ketika itu berpangkat Koperal bertugas sebagai GP bertugas di kapal PX 16 di pangkalan lama Polis Marin Lahad Datu.
Beliau berkata, anggota Polis Marin yang berada di pangkalan bertindak membalas tembakan bagi mempertahankan kawasan berkenaan, dalam keadaan bandar Lahad Datu turut diserang dan berlaku rompakan di Standard Chartered Bank.
«“Pada masa itu ialah 23 September 1985, jam lebih kurang 14:15… satu serangan lanun telah berlaku lah. Lanun itu melepaskan tembakan ke pangkalan Marin Lahad Datu, kami pun membalas lah… serentak dengan merompak bank di bandar Lahad Datu, iaitu Standard Chartered Bank.”»katanya.
Menurutnya, keadaan ketika itu amat huru-hara apabila serangan ke atas pangkalan Polis Marin berlaku serentak dengan kejadian rompakan di bandar.
Pertempuran antara anggota Polis Marin dan kumpulan lanun berkenaan berlaku secara berbalas tembakan selama kira-kira 45 minit, bermula jam 2.15 petang hingga sekitar jam 3 petang.
Dalam kejadian itu, dua anggota Polis Marin turut mengalami kecederaan manakala beberapa orang awam dilaporkan menjadi mangsa dalam kekacauan yang berlaku di bandar.
Rabaha berkata, sebagai GP bertugas, beliau turut bertanggungjawab melaporkan serangan berkenaan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu melalui saluran komunikasi polis.
«“Kami bertembak… berhenti, tembak menembak berhenti. Saya kira masa itu dalam 45 minit daripada 2:15 sampai jam 3, 45 minit… Saya masa itu bertanggungjawab melaporkan kejadian sebagai GP bertugas melaporkan kejadian kepada IPD Lahad Datu melalui channel 241.”»ujarnya.
Pengalaman tersebut menjadi antara detik paling mencabar sepanjang perkhidmatan Rabaha dalam pasukan keselamatan khususnya ketika anggota Polis Marin terpaksa mempertahankan pangkalan dan bandar Lahad Datu daripada ancaman bersenjata.
Dalam perkembangan berkaitan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, DCP Datuk Mohd Azhar bin Hamin turut mengadakan kunjungan kebajikan ke kediaman dua pesara polis di Lahad Datu sempena sambutan Hari Pahlawan.
Selain Rabaha, seorang lagi pesara yang disantuni ialah Sarjan Bersara Haji Salsagap bin Pg. Masdal.
Dalam lawatan itu sumbangan wang tunai sebanyak RM1,000 disampaikan kepada setiap pesara sebagai tanda penghargaan atas jasa, khidmat dan pengorbanan mereka sepanjang berkhidmat dalam pasukan.
Program berkenaan turut mencerminkan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan kebajikan pesara dan waris terus diberi perhatian selain mengeratkan hubungan silaturahim antara pasukan dengan warga pesara.
Terdahulu, Datuk Mohd Azhar mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu sebelum mempengerusikan mesyuarat khas bersama pegawai kanan polis dan ketua-ketua jabatan kerajaan negeri bagi membincangkan aspek keselamatan dan penguatkuasaan di daerah berkenaan.
Kisah Rabaha menjadi peringatan bahawa jasa anggota keselamatan yang pernah mempertaruhkan nyawa demi mempertahankan keamanan wajar terus dikenang meskipun puluhan tahun telah berlalu.
