KOTA KINABALU, 30 OGOS – Tiga kanak-kanak ditemukan rentung dalam kebakaran besar yang memusnahkan kira-kira 202 rumah setinggan atas air di Kampung Lok Buta, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 pagi itu, mangsa dikenal pasti sebagai Mohd Asrul bin Abdullah, 6, lelaki; Nana binti Abdullah, perempuan yang merupakan adik-beradik kepada Mohd Asrul dan Nurfarahdilah binti Mohd Tajihah, 8, perempuan merupakan sepupu mereka.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, PKPjB Mohd Pisar bin Aziz, berkata tiga mangsa berkenaan ditemukan oleh pasukan bomba dalam keadaan rentung.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada jam 1.40 pagi sebelum jentera pertama tiba di lokasi pada jam 1.54 pagi, kira-kira 18 kilometer dari balai.
Menurut JBPM, kebakaran membabitkan rumah setinggan atas air jenis tidak kekal di kawasan berkenaan dengan anggaran awal kira-kira 202 rumah terlibat manakala keluasan kawasan terjejas dianggarkan 260 x 380 kaki persegi.
Pasukan bomba menggunakan teknik pemadaman secara offensive dengan operasi dijalankan di Sektor A sejauh kira-kira 1,000 kaki menggunakan dua pancutan air daripada sumber terbuka.
Bagi menghalang api daripada terus merebak, pasukan bomba turut mewujudkan fire break dengan meruntuhkan empat buah rumah.
Kebakaran berjaya dikawal daripada merebak ke kawasan berhampiran pada jam 4.30 pagi manakala operasi pemadaman dan kerja-kerja overhaul diteruskan.
Seramai 55 anggota JBPM daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Lintas, Penampang dan Tuaran serta Ibu Pejabat JBPM Sabah terlibat dalam operasi berkenaan.
Operasi turut mendapat bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity (SE).
Menurut PKPjB Mohd Pisar, jumlah sebenar rumah yang terlibat serta maklumat lanjut berkaitan kejadian masih dalam proses pengesahan.Maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
