SABAH DAPAT 40 PERATUS MENERUSI PROJEK FASILITI GAS TERAPUNG

sabahheadlines
4 Min Read

KALABAKAN,2 OGOS- Kerajaan Sabah dijangka mendapat 40 peratus bahagian menerusi projek  fasiliti gas asli cecair terapung (FLNG) di Sabah yang bakal ditandatangani dengan  PETRONAS tidak lama lagi. 

Perkembangan baharu itu dikongsikan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji  Noor yang menyifatkannya sebagai antara kejayaan penting hasil kerjasama baik kerajaan  negeri dengan Persekutuan. 

Beliau berkata, ia juga adalah hasil perjanjian kerjasama yang ditandatangani dengan  PETRONAS sebelum ini yang membolehkan kerajaan negeri terbabit secara aktif dalam  industri minyak dan gas di negeri ini. 

Katanya, kerajaan negeri juga bakal mendapat 20 peratus bahagian menerusi projek yang  dilaksanakan PETRONAS di lapangan minyak dan gas yang baru ditemui di perairan  Sandakan. 

“Kita berjaya mengadakan perjanjian dengan PETRONAS dan tidak berapa lama lagi mungkin dalam beberapa bulan ini, kita akan menandatangani perjanjian dengan  PETRONAS di mana kita akan mendapat 40 peratus daripada floating gas di Sabah ini. 

“Di Sandakan, PETRONAS sudah mendapat satu lapangan minyak dan gas, di sini kita  akan dibagi 20 peratus,” katanya ketika merasmikan Program Jelajah Rakyat dan Jualan  Rahmah MADANI Parlimen Kalabakan di Dewan Terbuka Pejabat Daerah Kalabakan, di  sini. 

Terdahulu, beliau mendengar Taklimat Pembangunan Kalabakan yang disampaikan oleh  Pegawai Daerah Kalabakan, Encik Murad Abdul Rashid di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah  Kalabakan. 

Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd  Ali, Menteri Pembangunan Belia,Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Datuk  Nizam Abu Bakar Titingan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman,  Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun, Pembantu  Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Dr. Andi Md Shamsureezal  Mohd Sainal, Pembantu Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Negeri,  Datuk Jonnybone J. Kurum dan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady  Bandy.

Hajiji berkata, banyak manfaat yang boleh diperolehi oleh rakyat dan negeri ini dengan  adanya hubungan yang baik di antara kerajaan negeri dan Persekutuan. 

Katanya, Sabah juga semakin mendapat perhatian pelabur hasil pendekatan mesra pelabur  yang dijadikan polisi kerajaan pimpinannya dan ia diakui sendiri oleh diplomat asing yang  datang ke negeri ini untuk melihat potensi pelaburan yang ada. 

“Hampir 40 diplomat asing atau pesuruhjaya tinggi datang berjumpa saya dalam tempoh  lima tahun ini, mereka tertarik dengan dasar kita yang mesra pelabur. Mereka kata ini akan  melonjakkan Sabah ke arah yang lebih baik dan memang inilah yang kita lakukan untuk  Sabah,” katanya. 

Beliau berkata, kawasan industri sedia ada, khususnya Taman Perindustrian Kota Kinabalu  (KKIP) dan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) sudah semakin penuh  berikutan sokongan pelabur yang semakin baik. 

Katanya, atas sebab itu kerajaan negeri berusaha mengembangkan kawasan perindustrian  baharu termasuk POIC di pantai timur dan taman industri berasaskan ekonomi biru. 

Sementara itu, mengenai pembangunan Kalabakan, Ketua Menteri berkata kerajaan negeri  komited membawa Daerah Kalabakan ke arah pembangunan pesat dan seimbang selaras  dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), dengan pembangunan ekonomi dan  kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan. 

Antara yang diberi tumpuan, katanya ialah cadangan pembinaan Bandar Baharu Kalabakan  yang melibatkan kawasan seluas kira-kira 1,000 ekar, yang bakal menjadi pusat  pertumbuhan daerah menerusi pelbagai pembangunan yang dirancang apabila ia  dilaksanakan. 

“Apabila ini dilaksanakan, ia akan menjadi pusat pertumbuhan daerah Kalabakan dengan  pelbagai pembangunan yang dirancang,” katanya. 

Selain bandar baharu, Hajiji berkata kerajaan juga berusaha menambah baik kemudahan  infrastruktur Kalabakan, termasuk jalan raya dan pembinaan pusat kuarantin, imigresen dan  kastam (CIQ) yang bakal menjadi pintu masuk ke Sabah dari Kalimantan Utara, Indonesia. 

Beliau berkata, kehadirannya ke Kalabakan hari ini juga bagi meninjau sendiri  perkembangan di daerah itu bagi memastikan rakyatnya tidak ketinggalan dari segi  pembangunan yang diusahakan oleh kerajaan. 

Share This Article