PAPAR, 28 JULAI-Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon berkapasiti 80 juta liter sehari (MLD) dan Loji Muka Sauk Kabang baharu di sini dijangka mula beroperasi masing-masing pada November dan September tahun ini.
Pelaksanaan kedua-dua projek bernilai tinggi itu bakal memberi kelegaaan buat penduduk apabila dijangka mampu mengatasi masalah kekurangan bekalan air di kawasan Papar, Putatan dan Kimanis.
Sehubungan itu, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mengarahkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) supaya memantau rapi pelaksanaan kedua-dua projek berkenaan bagi memastikan ia disiapkan mengikut jadual tanpa sebarang kelewatan.
Beliau turut menggesa JANS agar lebih proaktif dalam menangani isu gangguan bekalan air, termasuk mempertingkat penghantaran lori tangki air ke kawasan terjejas di seluruh negeri.
“Masalah bekalan air merupakan isu legasi, namun sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita komited untuk menyelesaikannya.
“Saya sendiri menerima banyak aduan. Saya berharap pihak jabatan memberi perhatian serius terhadap semua isu ini dan memastikan rakyat tidak terus berdepan masalah bekalan air,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri sesi taklimat mengenai perkembangan projek berkenaan di Langkah Syabas Resort, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Panglima Joachim Gunsalam serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali.
Sementara itu, Pengarah JANS, Chee Chun Chieh memaklumkan bahawa projek LRA Kogopon bernilai RM365.9 juta itu dijangka mula membekalkan air menjelang akhir November, manakala keseluruhan projek berkenaan dijadualkan siap sepenuhnya pada 2028.
Mengenai projek Loji Muka Sauk Kabang bernilai RM39.73 juta pula, beliau menjelaskan pembinaannya kini telah mencapai 90 peratus dan dijangka mula beroperasi September depan.
Kemudahan baharu itu dibina lebih jauh di hulu Sungai Papar bagi mengatasi masalah kemasinan air yang kerap menjejaskan LRA di bawah Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) serta muka sauk sedia ada di Limbahau.
Pengoperasian loji muka sauk baharu itu kelak bakal meningkatkan kapasiti pengeluaran air daripada sembilan MLD kepada 30 MLD.
