RUMAH SEPARUH KEKAL MUSNAH 90 PERATUS DALAM KEBAKARAN DI KG SEPAGAYA

sabahheadlines
1 Min Read

LAHAD DATU, 30 JULAI-Sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Sepagaya, petang kelmarin.

Menurut kenyataan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 pada jam 2.44 petang sebelum menggerakkan pasukan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari balai.

Katanya, seramai 12 anggota bersama tiga jentera masing-masing sebuah First Response Tender (FRT), Light Fire Rescue Tender (LFRT), dan unit EMRS—dikerahkan ke lokasi dan tiba pada jam 2.52 petang.

“Setibanya di lokasi kejadian didapati sebuah rumah berukuran 30 x 40 kaki telah terbakar 90 peratus.

Kebakaran turut menyebabkan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux mengalami kerosakan akibat bahangan api,” katanya.

Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan menggunakan sumber air terbuka dari laut.

Api berjaya dikawal pada jam 3.31 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.11 petang selepas pasukan memastikan tiada sebarang unsur bahaya lain di lokasi kejadian.

Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden berkenaan.

Operasi tersebut turut dibantu oleh dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), enam anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta dua petugas Sabah Electricity (SE).

Share This Article