TAWAU, 25 JULAI -Seramai 12 mangsa yang terperangkap akibat banjir di kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Apas, Batu 15, Tawau berjaya diselamatkan Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), hari ini.
Dalam kejadian yang dilaporkan pada jam 12.34 tengah hari itu, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira 32 kilometer dari balai bomba.
Pasukan bomba yang tiba pada jam 1.20 petang mendapati kejadian banjir benar-benar berlaku di kawasan berkenaan dengan 12 mangsa terperangkap akibat kenaikan air.
Kesemua mangsa terdiri daripada empat lelaki dewasa, lima perempuan dewasa, dua kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki.
Kesemua mangsa berjaya diselamatkan pasukan bomba dan kemudiannya dipindahkan ke rumah saudara-mara masing-masing dalam keadaan selamat.
Operasi diketuai PBK I Al Mujid bin Ali Baba dengan kekuatan 10 anggota BBP Tawau, membabitkan sebuah jentera FRT dengan tujuh anggota serta sebuah kenderaan Vigo yang membawa tiga anggota.
Pasukan turut menggunakan sebuah bot YAPIEM bagi membantu operasi menyelamat dan pemantauan di kawasan terjejas.
Selepas memastikan keadaan di lokasi selamat dan terkawal, pasukan bomba meneruskan pemantauan berterusan di kawasan yang terjejas banjir bagi memastikan keselamatan penduduk sentiasa terjamin.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 3 petang.
