KOTA KINABALU,23 JULAI-Presiden Pertubuhan Rungus Bersatu Sabah (PRBS), Makinsos Nawai, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini pada Khamis atas pertuduhan menggunakan jawatannya bagi mendapatkan suapan berkaitan projek pembinaan Dewan Kebudayaan dan Galeri Rungus membabitkan peruntukan RM2 juta.
Makinsos,67 mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Khas Rasuah, Yang Arif Andi Razalijaya A. Dadi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh, yang ketika itu memegang jawatan Presiden PRBS didakwa sekitar tahun 2022 telah menggunakan kedudukannya sebagai pegawai badan awam dengan mengemukakan permohonan serta melaksanakan sendiri pembinaan Dewan Kebudayaan dan Galeri Rungus di Kota Marudu tanpa persetujuan Ahli Majlis Tertinggi pertubuhan berkenaan.
Tindakan itu didakwa dilakukan walaupun beliau mempunyai kepentingan dalam pengurusan permohonan peruntukan serta pelaksanaan projek tersebut yang melibatkan dana berjumlah RM2 juta daripada Kementerian Kewangan Sabah.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan deposit RM5,000 serta dua orang penjamin tempatan.
Selain itu beliau turut diperintahkan melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali, tidak mengganggu saksi pendakwaan serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 27 Ogos 2026 sebagai tarikh pengurusan kes. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norsham Saharom manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Ram Singh, Prem Elmer Ganasan, Prabjit Singh Gill, dan Ian Vun Chit Khen.& Co.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
