LELAKI MAUT DIPERCAYAI TERKENA RENJATAN ELEKTRIK KETIKA PASANG TIANG LAMPU DI NABAWAN

sabahheadlines
1 Min Read

NABAWAN, 21 Julai – Seorang lelaki warga asing berusia 29 tahun maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja-kerja pemasangan tiang lampu di Kampung Malinja, di sini, pada selasa .

Dalam kejadian kira-kira jam 11.49 pagi itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nabawan menerima panggilan kecemasan melalui talian balai sebelum sebuah jentera bersama enam anggota dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira empat kilometer dari balai.

Komander Operasi, PBK I Gustin Asin berkata, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 11.56 pagi dan mendapati mangsa masih berada di kawasan berbahaya selepas dipercayai terkena renjatan elektrik semasa melakukan kerja pemasangan tiang lampu di tepi jalan.

“Pasukan bomba segera bertindak mengeluarkan mangsa dari kawasan berbahaya sebelum pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan pemeriksaan.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut dan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Operasi turut melibatkan tiga anggota KKM dan tiga anggota PDRM sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.15 tengah hari selepas pihak bomba memastikan tiada lagi sebarang bahaya di lokasi kejadian.

Share This Article