SMJE SERAH SUMBANGAN RM89.461 JUTA KEPADA KERAJAAN NEGERI

sabahheadlines
3 Min Read

KOTA KINABALU, 21 JULAI-Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyaksikan penyerahan sumbangan berjumlah RM89.461 juta oleh SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE) kepada Kerajaan Negeri di Bangunan Dewan Undangan Negeri, di sini pada Selasa.

Pada majlis ringkas itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SMJE, Datuk Dr Dionysia Kibat menyerahkan replika cek kepada Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Datuk Mohd Sofian Alfian Nair bagi pembayaran dividen berjumlah RM50 juta untuk tahun kewangan berakhir 2025 dan Cukai Jualan Negeri (SST) berjumlah RM37.96 juta dibayar kepada Kerajaan Negeri untuk tahun lalu.

Sejak tahun 2023, SMJ Energy telah membayar dividen terkumpul berjumlah RM210 juta kepada Kerajaan Negeri.

Pembayaran dividen itu dibuat daripada rizab boleh agih, disokong oleh kedudukan kunci kira-kira yang kukuh, kedudukan tunai yang lebih mantap serta pengurusan kewangan yang berdisiplin secara berterusan di seluruh Kumpulan.

Sehingga 31 Disember 2025, jumlah aset Kumpulan SMJ Energy mencecah RM4.82 bilion manakala syarikat merekodkan Keuntungan Selepas Cukai sebanyak RM58.7 juta meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi, sosial dan geopolitik yang berterusan.

Dr Dionysia turut menyerahkan sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berjumlah RM1 juta untuk Tabung Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah kepada Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Sabah, Datuk Norlijah Danin serta RM500,000 kepada Pengarah Yayasan Kebajikan Sabah (YKS), Datuk Diyanah Abdullah.

Ketua Menteri berkata, pembayaran dividen dan penyerahan kutipan SST itu mencerminkan prestasi kewangan SMJE yang mampan serta membuktikan kejayaan syarikat berkenaan dalam melaksanakan mandat Kerajaan Negeri untuk meningkatkan penyertaan Sabah dalam sektor minyak dan gas.

Beliau berkata, sumbangan CSR itu pula menyerlahkan komitmen syarikat milik Kerajaan Negeri itu dalam menyokong pembangunan modal insan serta inisiatif kebajikan sosial di Sabah.

Sementara itu, Pengerusi SMJ Energy, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun berkata prestasi syarikat itu membuktikan nilai pengurusan aset strategik Sabah secara berdisiplin, profesional dan berorientasikan jangka panjang.

“Tanggungjawab kami adalah mengurus pelaburan strategik negeri secara berhemah agar ia terus memberikan pulangan yang mampan serta manfaat yang berkekalan kepada Sabah bukan sahaja untuk hari ini tetapi juga untuk generasi akan datang,” kata Masidi yang juga Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman, Peguam Besar Negeri, Datuk Brenndon Soh, Ketua Pegawai Operasi merangkap Naib Presiden Eksekutif Huluan SMJE, Datuk Albert Lo serta pegawai kanan SMJE.

Share This Article