DUN SABAH:SEKONG BERPOTENSI JADI HAB EKO -PELANCONGAN,KERAJAAN PERKASA PENYERTAAN KOMUNITI

sabahheadlines
3 Min Read

KOTA KINABALU, 21 JULAI – Kerajaan negeri terus memberi penekanan kepada pembangunan eko-pelancongan berasaskan kelestarian alam sekitar dan penglibatan komuniti dengan DUN Sekong dikenal pasti mempunyai potensi besar sebagai destinasi eko-pelancongan di Sabah.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Dr. Andi Md Shamsureezal Bin Mohd Sainal berkata, kawasan Sekong memiliki pelbagai produk pelancongan berasaskan ekosistem paya bakau dan hidupan liar yang mampu menjana ekonomi mampan kepada penduduk setempat.
Beliau berkata, antara tarikan sedia ada ialah Kampung Bambangan, Pusat Pemuliharaan Orangutan Sepilok, Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo, Labuk Bay Proboscis Sanctuary dan Rainforest Discovery Centre.

“Kementerian melalui Lembaga Pelancongan Sabah akan bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hidupan Liar Sabah, Majlis Tindakan Pelancongan Daerah, pihak berkuasa tempatan serta komuniti setempat untuk mengenal pasti produk eko-pelancongan yang berpotensi.

“Kerjasama ini turut merangkumi pembangunan kapasiti komuniti melalui latihan, pembangunan produk serta promosi di platform pemasaran domestik dan antarabangsa,” katanya ketika menjawab soalan ADUN N. 53 Sekong, Alias Sani pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Selasa.

Beliau berkata, Lembaga Pelancongan Sabah turut mempromosikan Sekong sebagai sebahagian daripada pengalaman pelancongan Sandakan, termasuk melalui pembangunan pelancongan berasaskan komuniti (Community-Based Tourism) di Kampung Bambangan.

Menurutnya, produk yang ditawarkan termasuk inap desa, lawatan ke perusahaan ketam lembut, aktiviti memancing serta pelayaran sungai menyusuri Hutan Simpan Kabili-Sepilok.

Katanya, usaha itu diyakini mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada masyarakat setempat sekali gus memperkukuh pertumbuhan ekonomi secara mampan.

Menjawab soalan tambahan ADUN N. 66 Bugaya Tuan Haji Hamil Bin Datuk Haji Hamzah mengenai usaha memastikan projek eko-pelancongan tidak dikuasai syarikat luar, beliau berkata kerajaan menggalakkan penyertaan aktif koperasi dan pengusaha tempatan menerusi Jawatankuasa Tindakan Pelancongan Daerah (JTPD).

Beliau berkata, JTPD yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah di setiap daerah berfungsi sebagai platform penyelarasan pembangunan pelancongan dengan keanggotaan melibatkan ADUN, ketua jabatan, agensi kerajaan, wakil Lembaga Pelancongan Sabah, pihak berkuasa tempatan, ketua kaum, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta pemain industri pelancongan.

“Kementerian menggalakkan semua pemain industri sama ada kecil, sederhana atau besar menyertai JTPD supaya kerajaan dapat mengenal pasti pihak yang layak diberikan keutamaan dari segi latihan, pembangunan kapasiti dan bantuan geran yang disediakan oleh kementerian serta Lembaga Pelancongan Sabah,” katanya.

Share This Article