SANDAKAN, 16 JULAI – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya mematahkan empat cubaan penyeludupan melibatkan sisik tenggiling, rokok tidak berkastam dan diesel bersubsidi dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM1.45 juta termasuk duti dan cukai menerusi beberapa operasi berasingan di sekitar Sandakan.
Pengarah Kastam Negeri Sabah, Ahmad Taufik Sulaiman, berkata kejayaan itu merupakan hasil risikan dan tindakan bersepadu Bahagian Penguatkuasaan JKDM Sandakan dalam membanteras aktiviti penyeludupan yang menjejaskan hasil negara serta mengancam kelestarian hidupan liar.
Beliau berkata, rampasan terbesar melibatkan 100 kilogram sisik tenggiling yang dianggarkan bernilai RM1.3 juta dikesan pada 6 Julai lalu di Pintu Masuk Kargo Udara Sandakan hasil pemeriksaan bersama Unit Kargo.
“Sindiket dipercayai menggunakan taktik mengikrarkan barangan tersebut sebagai komoditi lain dalam Borang Kastam No. 3 bagi mengelakkan kegiatan eksport spesies terancam itu dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Dalam operasi berasingan pada 15 Jun JKDM turut merampas 80,000 batang rokok putih tidak berkastam yang disorok di kawasan semak berhampiran Kampung Bariawa, Batu 8, Sandakan. Rampasan itu dianggarkan bernilai RM72,160 termasuk duti dan cukai.
Sehari kemudian, pada 16 Jun, pasukan penguat kuasa menahan sebuah Nissan Navara di Jalan Sedco, Batu 2½, Sandakan dan menemui 15,080 batang rokok pelbagai jenama tidak berkastam di dalam kenderaan sewa berkenaan.
Kenderaan yang dianggarkan bernilai RM50,000 turut disita menjadikan jumlah rampasan bagi kes itu bernilai RM63,969.56.
Sementara itu, menerusi Ops Tiris 4.0 pada 3 Jun, JKDM menemui 2,645 liter diesel bersubsidi yang disembunyikan di bawah struktur Jeti Pasar Umum Sandakan dimana bahan api itu dipercayai akan dipindahkan ke bot sebelum diseludup ke luar negara.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM13,939.15, termasuk duti dan cukai.
Ahmad Taufik berkata, kes rampasan sisik tenggiling disiasat mengikut Seksyen 10 Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686) manakala kes berkaitan rokok dan diesel disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Beliau turut menegaskan JKDM akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan di negeri ini dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan diminta menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau menyalurkan maklumat kepada mana-mana pejabat JKDM berhampiran. Sementara itu Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya.
