SANDAKAN, 8 JULAI– Persatuan Media Sandakan, Sabah (PEMASSA) terus memperkukuh hubungan dengan pemimpin masyarakat menerusi kunjungan hormat ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, di pejabat beliau di Batu 9, Sandakan.
Delegasi PEMASSA diketuai Pengerusinya, James Leong bersama ahli jawatankuasa persatuan.
Menurut James, kunjungan itu bertujuan memperkenalkan PEMASSA yang menghimpunkan pengamal media cetak, media elektronik dan portal berita berdaftar di sekitar Sandakan.
Beliau berkata, PEMASSA merupakan sebuah persatuan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia dan telah ditubuhkan sejak tahun 2013 bagi memperkukuh jaringan serta kebajikan pengamal media di daerah itu.
Katanya, kunjungan tersebut turut membuka ruang untuk mengeratkan silaturahim, membina kerjasama strategik serta bertukar pandangan mengenai isu-isu semasa, liputan berita dan pelaksanaan program pembangunan masyarakat khususnya di kawasan DUN Sungai Manila serta daerah berhampiran.
Sementara itu, Hazem menyambut baik kunjungan berkenaan dan berharap pengamal media di Sandakan terus berpegang kepada etika kewartawanan dalam menyampaikan maklumat yang tepat, sahih dan seimbang kepada masyarakat.
Beliau turut mengakui cabaran dunia kewartawanan masa kini yang berdepan penyebaran berita pantas serta maklumat tular di media sosial, sekali gus menuntut media arus perdana terus memainkan peranan sebagai sumber rujukan yang dipercayai.
Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pengamal media yang sentiasa komited menjalankan tugas tanpa mengira masa demi memastikan masyarakat menerima maklumat yang tepat serta dasar dan inisiatif kerajaan dapat disampaikan dengan berkesan kepada rakyat.
