KRT BAKAU JAYA BARU HIDUPKAN SENI BATIK, SURI RUMAH PELAJARI TEKNIK BLOCK & SHIBORI

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU, 6 JULAI – Seni batik bukan sekadar lambang budaya malah mampu menjadi pemangkin ekonomi komuniti.

Berteraskan semangat memelihara warisan sambil memperkasa wanita, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Bakau Jaya Baru menganjurkan Program Pengenalan Batik Block & Shibori yang menghimpunkan 20 suri rumah dalam bengkel kreatif selama dua hari.

Program bertemakan “Seni Tradisi Warisan Kita” itu berlangsung di Dewan Perpaduan Masjid Nur Jammeh pada 4 dan 5 Julai dengan kerjasama Alnisya Collection dan Eco-Dyeing Textile Craft, serta sokongan rakan strategik UPPM Silam, Masjid Nur Jammeh dan TEKUN.

Penolong Pengarah Perpaduan Daerah Lahad Datu, Norina Jibrail, berkata penganjuran program tersebut merupakan inisiatif julung kali dilaksanakan oleh KRT Kampung Bakau Jaya Baru dalam usaha memelihara seni warisan batik tradisional di samping memperkukuh perpaduan komuniti setempat.

“Sepanjang program berlangsung. para peserta didedahkan dengan teknik asas penghasilan Batik Block dan Shibori sebagai kemahiran baharu dalam seni tekstil kreatif., katanya.

Teknik Batik Block menggunakan blok atau cop bercorak yang dicelup dengan lilin panas sebelum dicop ke atas kain bagi menghasilkan corak batik yang tersusun dan berulang.

Sementara itu teknik Shibori pula melibatkan proses mengikat, mencelup dan membuka kain bagi menghasilkan corak unik dan kreatif pada fabrik.

Pendedahan tersebut bukan sahaja memberi ilmu baharu kepada peserta malah membuka ruang kepada mereka untuk mengembangkan kemahiran dalam bidang kraftangan batik yang berpotensi menjana pendapatan sampingan.

Golongan suri rumah yang menyertai program itu juga dilihat berpeluang mengasah kreativiti serta memanfaatkan kemahiran tersebut sebagai sumber ekonomi keluarga.

“KRT Kampung Bakau Jaya Baru turut disifatkan sebagai antara KRT yang aktif di daerah ini kerana sentiasa melaksanakan pelbagai program pembangunan komuniti secara berterusan”, tambahnya.

Katanya, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) akan terus menyokong pelaksanaan program seumpama ini dan memperluaskannya ke KRT lain bagi memperkukuh semangat perpaduan di samping memelihara warisan budaya serta memperkasakan ekonomi komuniti setempat.

Turut hadir Pengerusi KRT Kampung Bakau Jaya Baru, Shariffudin Bin Mappayompa.

Share This Article