KPDN SEMPORNA RAMPAS LEBIH EMPAT TAN BARANG KAWALAN BERSUBSIDI

sabahheadlines
1 Min Read

SEMPORNA, 11 JUN-Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Cawangan Semporna merampas pelbagai barang kawalan bersubsidi bernilai lebih RM13,000 menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) yang dijalankan bagi mengekang aktiviti penyelewengan bekalan di daerah ini.

Rampasan itu susulan kes yang diserahkan oleh Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak hasil operasi di sekitar Pekan Semporna pada 10 Jun lalu.

Antara barang yang disita ialah tepung gandum pelbagai jenama dengan jumlah keseluruhan hampir empat tan serta 47 bundle gula pasir kasar seberat 1,128 kilogram yang ditemukan disimpan di sebuah premis tanpa lesen atau kebenaran Pengawal Bekalan.

Seorang lelaki tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan manakala nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM13,137.28.

KPDN Semporna telah membuka kertas siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau syarikat yang terlibat dalam penyelewengan barang kawalan bersubsidi.

Menurut KPDN, pesalah yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama untuk individu manakala syarikat boleh didenda sehingga RM2 juta mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Share This Article