SEORANG MAUT DAN ENAM CEDERA DALAM KEMALANGAN 4X4

sabahheadlines
2 Min Read

KENINGAU, 3 JUN – Seorang maut manakala enam lagi ahli cedera dalam kemalangan di Jalan Bingkor, Chanang Hill di sini pagi semalam.

Mangsa yang maut seorang wanita manakala enam yang cedera dipercayai ahli keluarga mangsa, selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terbabas dan terjatuh ke dalam gaung.

Pegawai Bomba Kanan I Selverinus Sixtus Geoffrey berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.54 pagi sebelum sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, setibanya di lokasi kira-kira 10 minit kemudian, pasukan penyelamat mendapati sebuah Toyota dalam keadaan terbalik di dalam gaung selepas dipercayai hilang kawalan ketika menuruni jalan curam.

“Seorang wanita dewasa didapati tersepit di dalam kenderaan dan berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Dalam kejadian itu, lima mangsa yang cedera dihantar ke hospital menggunakan kenderaan Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS), manakala dua lagi dibawa menaiki ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Difahamkan, semua mangsa yang terlibat merupakan ahli keluarga terdekat kepada seorang anggota BBP Nabawan.

Operasi yang turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), KKM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta orang awam ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.51 pagi selepas kawasan kejadian disahkan selamat.

Pihak bomba pada masa sama menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa memastikan keadaan kenderaan berada dalam keadaan baik dan mematuhi had kelajuan khususnya ketika melalui laluan berbukit serta curam.

Share This Article