PERPADUAN DAN KEBERSAMAAN KUNCI KEMAJUAN SABAH – HAJIJI

sabahheadlines
3 Min Read

PENAMPANG, 1 JUN – Keteguhan perpaduan dan kebersamaan rakyat merupakan teras utama untuk memastikan Sabah terus maju dan membangun secara mampan selaras dengan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan negeri komited untuk terus melipatgandakan usaha bagi memastikan pembangunan negeri berjalan lancar serta kebajikan rakyat sentiasa terbela.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif sedang dan akan terus dilaksanakan termasuk memperkukuhkan ekonomi negeri menerusi agenda yang digariskan dalam Hala Tuju SMJ 2.0.

“Usaha ini termasuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan produktiviti sektor pertanian, memperkasa modal insan, melestarikan kesejahteraan rakyat di luar bandar dan bandar serta memajukan sektor pelancongan melalui kebudayaan.

“Dalam usaha mencapai matlamat ini sudah tentu kerajaan memerlukan seluruh lapisan rakyat untuk terus bersatu hati dan bersama-sama membangunkan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Dewan Hongkod Koisaan, Penampang, pada Ahad.

Menurut Hajiji, tema sambutan tahun ini, “Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian”, amat bertepatan dengan situasi semasa yang menuntut rakyat terus bersatu dalam menghadapi pelbagai cabaran.

“Ketidaktentuan ekonomi, kenaikan kos sara hidup dan pelbagai cabaran lain memerlukan kita terus sepakat serta berganding bahu untuk mengatasinya,” katanya.

Mengulas mengenai sambutan Kaamatan, beliau berkata perayaan itu bukan sekadar acara kebudayaan malah menjadi platform penting untuk memelihara warisan etnik, memupuk toleransi dan memperkukuhkan kestabilan politik serta pembangunan negeri.

Katanya, Kaamatan turut mengingatkan rakyat bahawa setiap kejayaan memerlukan usaha gigih, kesetiaan dalam bekerja dan semangat kerjasama yang tinggi.

“Masa depan Sabah yang makmur tidak akan terbina melalui retorik semata-mata sebaliknya menerusi kerja keras, kesepakatan, keharmonian dan keikhlasan seluruh lapisan rakyat.

“Semoga Sabah terus melangkah ke hadapan sebagai negeri yang aman, sejahtera, maju jaya dan dihormati berteraskan nilai budaya yang unik serta sokongan padu rakyat keseluruhannya,” katanya.

Hajiji turut melahirkan rasa bangga dengan kehadiran masyarakat pelbagai kaum serta presiden-presiden pertubuhan dan persatuan etnik dari seluruh Sabah yang bersama-sama memeriahkan sambutan berkenaan.

Katanya, kehadiran mereka membuktikan perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat Sabah selain menyerlahkan semangat kesyukuran atas hasil tuaian yang melimpah ruah.

Majlis penutupan itu disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama ( TYT) Tun Datuk Seri Panglima ( DR .) Musa Haji Aman.

Turut hadir isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag; Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti serta Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan Negeri 2026, Datuk Joachim Gunsalam; Huguan Siou dan Presiden Kadazandusun Cultural Association, Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong.

Share This Article