SEMPORNA,27 MEI-Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menafikan kehadirannya pada sambutan Pesta Kaamatan bersama Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Jeffrey Kitingan mempunyai sebarang agenda politik tersembunyi.
Sebaliknya, beliau berkata kehadiran itu hanya sebagai tanda menghormati budaya masyarakat di Sabah selain mengeratkan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama.
Menurut Shafie, beliau hadir ke majlis berkenaan atas jemputan Jeffrey yang juga rakan lamanya dan tidak wajar dikaitkan dengan pelbagai spekulasi politik.
Katanya, rakyat tidak seharusnya terlalu cepat membuat tafsiran negatif terhadap kehadiran pemimpin dalam acara budaya masyarakat lain kerana perkara itu merupakan sebahagian daripada amalan saling menghormati dalam negara berbilang kaum dan agama.
“Apa salahkah kita tanda hormat itu tentang kehadiran kita dalam satu acara kerana saya juga mantan Menteri Perpaduan dan Kebudayaan di Malaysia dahulu.
“Ini satu langkah untuk membolehkan rakyat yang ada pelbagai anutan agama dan budaya terus suburkan kebudayaan itu tetapi cinta kepada negara ini bukan satu persoalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri sambutan Hari Raya Aidiladha di Semporna, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Semporna itu turut melahirkan kebimbangan terhadap penyebaran fitnah di media sosial yang disifatkan mampu menimbulkan keresahan dan sentimen tidak sihat dalam masyarakat.
Beliau berharap pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan terhadap pihak yang menyebarkan maklumat tidak benar.
Pada 17 Mei lalu, Shafie menghadiri sambutan Pesta Kaamatan yang dirasmikan Jeffrey sekali gus mencuri tumpuan ramai dan mengundang pelbagai spekulasi politik di Sabah.
