KENINGAU, 20 MEI – Kejadian pokok tumbang akibat angin kencang dan cuaca buruk petang tadi menghalang laluan di Jalan Bingkor menuju ke Taman Bandukan sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk serta pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles berkata kejadian itu perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkaitan kerana boleh mengundang risiko keselamatan kepada orang ramai khususnya pengguna laluan terbabit.
Menurut beliau,pemantauan dan pemeriksaan berkala terhadap pokok-pokok besar di tepi jalan raya amat penting bagi memastikan keadaan pokok sentiasa selamat serta tidak membahayakan pengguna.
“Langkah awal dan pemantauan berterusan perlu dilaksanakan terutama ketika musim hujan dan cuaca tidak menentu yang sering disertai angin kuat.
“Kejadian seperti ini boleh berlaku tanpa diduga dan berpotensi mengancam keselamatan pengguna jalan raya sekiranya tindakan pencegahan tidak diambil lebih awal,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau bagaimanapun bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.
“Syukur kerana tiada kejadian tidak diingini berlaku. Namun insiden ini wajar dijadikan peringatan kepada semua pihak supaya usaha pencegahan dan pemantauan dapat dipertingkatkan,” katanya.
Dalam pada itu beliau turut memaklumkan bahawa pokok tumbang berkenaan berjaya dialihkan dan dibersihkan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Keningau dalam tempoh singkat.
Sehubungan itu beliau merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak bomba serta semua pihak yang terlibat atas tindakan pantas memastikan laluan kembali selamat dan boleh digunakan semula oleh orang ramai.
