WARGA EMAS HILANG DI SUNGAI DITEMUI TIDAK SEDARKAN DIRI

sabahheadlines
2 Min Read

TAMBUNAN, 20 MEI-Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerima panggilan kecemasan mengenai seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang di Sungai Pagalan, Kampung Nouduh, Tambunan pada pagi Selasa.

Menurut Jurucakap bomba dan penyelamat panggilan diterima pada jam 8 pagi daripada pihak IPD Tambunan memaklumkan terdapat seorang mangsa hilang di sungai.

Mangsa dikenali sebagai Markus @ Marchous Antigang, 74 tahun dilaporkan keluar dari rumah kira-kira jam 4 petang pada 18 Mei lalu untuk menjala ikan di Sungai Pagalan namun tidak pulang sehingga menimbulkan kebimbangan ahli keluarga.

Seramai 12 anggota BBP Tambunan digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai sebelum tiba pada jam 8.04 pagi dan menjadikan St Martin Kampung Nouduh sebagai Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pada jam 8.10 pagi bersama beberapa agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, pegawai penjara, pasukan bomba komuniti, Pasukan Bomba Sukarela serta penduduk kampung.

Pasukan penyelamat menjalankan operasi menggunakan kaedah water surface search and rescue dengan pencarian melibatkan radius sejauh 4.7 kilometer di sekitar sungai berkenaan.

Mangsa akhirnya ditemui oleh anaknya sendiri pada jam 9.42 pagi di bawah jambatan gantung Sungai Nouduh dalam keadaan tidak sedarkan diri kemudian mangsa dibawa ke Hospital Tambunan oleh pihak polis bagi pengesahan lanjut mengenai status mangsa.

Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 10 pagi selepas keadaan terkawal.

Share This Article