SABAH KOMITED SOKONG RPM 2026-2035, FOKUS ATASI ISU SEKOLAH DAIF

sabahheadlines
2 Min Read

​KOTA KINABALU, 11 MEI- Kerajaan Negeri Sabah menyatakan sokongan padu terhadap aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 dengan memberi tumpuan khusus kepada transformasi pendidikan digital, pemerkasaan TVET, dan pengukuhan bidang STEM di negeri ini.

​Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa sinergi antara kerajaan negeri dan Persekutuan adalah kunci utama untuk menuntaskan isu kronik seperti sekolah daif serta kekurangan tenaga pengajar di kawasan pedalaman dalam tempoh sedekad akan datang.

​Menurut beliau, agenda pendidikan kekal menjadi teras utama di bawah pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada arus perdana meskipun bidang tersebut di bawah bidang kuasa Persekutuan.

​”Kerajaan negeri telah memperkenalkan 14 inisiatif bantuan pendidikan sepanjang 2021 hingga 2025, termasuk BISBAH, BUDI dan BALKIS yang diteruskan tahun ini bagi meringankan beban sekolah serta meningkatkan prasarana pendidikan secara menyeluruh,” katanya.

​Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk James Ratib pada majlis perasmian Konvensyen Pendidikan dan Persidangan Agung Perwakilan Kali Ke-4 Persatuan Guru Besar Malaysia (PGBM) Sabah di sini, pada Ahad.

​Hajiji turut menyeru para Guru Besar agar terus memperkasakan kepimpinan sekolah dengan nilai empati tinggi dalam mendepani cabaran pendidikan masa kini.

​”Guru Besar adalah tulang belakang yang membentuk masa depan generasi muda. Saya berharap PGBM Sabah terus menjadi wadah kukuh dalam menyuarakan aspirasi demi memartabatkan profesion keguruan di negeri ini,” tambah beliau.

Share This Article