TAWAU,6 MEI- Seorang guru tusyen sambilan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan merogol anak sulungnya sejak Disember tahun lalu hingga Mac tahun ini.
Tertuduh berusia 54 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol anak sulungnya yang berusia 25 tahun di tiga hotel berasingan di daerah ini, masing-masing di Jalan Masjid, Jalan Dunlop dan Jalan Bakau antara Disember 2025 hingga Mac 2026.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan 23 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan mangsa.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Haikal Md Yatin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sementara itu pada 8 April lalu, sebuah akhbar tempatan melaporkan tertuduh sebelum ini telah mengaku bersalah atas 11 pertuduhan merogol dua anak kandungnya sejak 2016 di Mahkamah Sesyen Lahad Datu.
Dalam kes berkenaan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara keseluruhan 165 tahun dan 110 sebatan terhadap tertuduh.
Berdasarkan fakta kes terdahulu, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap dua anaknya yang masing-masing berusia 25 dan 22 tahun di beberapa lokasi di daerah ini serta di Lahad Datu.
