LAHAD DATU, 3 MEI-Cadangan pembangunan Tungku Commercial Centre di Lahad Datu tidak dapat diteruskan seperti dirancang selepas perjanjian usahasama antara Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) dan Menara Gading Sdn. Bhd. (MGSB) ditamatkan.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Maijol Mahap berkata, projek pembangunan bercampur itu pada asalnya merupakan usahasama antara kedua-dua pihak melalui perjanjian yang ditandatangani pada 11 Oktober 2021.
Menurutnya, pembangunan projek berkenaan telah diluluskan pada 19 Jun 2024 namun pelaksanaannya tertangguh berikutan kegagalan pihak MGSB memenuhi beberapa terma penting dalam perjanjian dalam tempoh yang ditetapkan.
“Bagi mengelakkan kelewatan berterusan LPPB telah membuat keputusan menamatkan perjanjian tersebut pada 11 September 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah baru-baru ini bagi
menjawab pertanyaan Assaffal @ Samsul Kamal P. Alian mengenai status projek berkenaan.
Tambahnya, walaupun pihak MGSB sebelum ini memohon penangguhan dan diberikan masa tambahan untuk menyelesaikan isu terbabit syarikat itu masih gagal mencapai penyelesaian yang dipersetujui.
Sehubungan itu, LPPB telah menguatkuasakan penamatan rasmi perjanjian usahasama berkenaan melalui surat bertarikh 18 Februari 2025.
Sementara itu Joachim Gunsalam memaklumkan bahawa LPPB kini sedang berusaha mencari serta menjemput pemaju baharu yang berkelayakan bagi meneruskan pembangunan projek Tungku Commercial Centre.
