DUA BLOK KUARTERS GURU DAN KANTIN SK IMBAK MUSNAH TERBAKAR,TIADA KEMALANGAN JIWA

sabahheadlines
2 Min Read

TONGOD, 30 APRIL – Dua blok kuarters guru serta sebuah kantin di Sekolah Kebangsaan (SK) Imbak di sini musnah dalam satu kebakaran petang tadi, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat.

Menurut laporan kejadian, panggilan kecemasan diterima pada jam 6.24 petang sebelum Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Tongod tiba di lokasi pada jam 7.54 malam, diikuti anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan.

Komander Operasi, PB Saripuddin Ali Hassan berkata, kebakaran melibatkan dua blok bangunan kuarters guru jenis tidak kekal yang mempunyai empat pintu dengan setiap unit berkeluasan 40 x 40 kaki, musnah sepenuhnya.

“Turut terbakar adalah sebuah kantin sekolah berkeluasan 20 x 30 kaki serta sebuah kenderaan jenis Proton Saga BLM yang masing-masing mengalami kemusnahan 100 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 11.05 malam dan operasi ditamatkan pada jam 11.18 malam selepas pemeriksaan keselamatan dilakukan di seluruh kawasan.

Menurutnya, sebelum ketibaan pasukan bomba, orang awam telah bertindak memadam kebakaran menggunakan pam air persendirian dengan sumber air daripada tangki awam.

“Pasukan bomba kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi risiko kebakaran berulang atau bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya.

Operasi tersebut melibatkan seramai lapan anggota, masing-masing lima dari BBP Kinabatangan menggunakan jentera CFRT dan tiga anggota PBS Tongod dengan kenderaan Triton.

Tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam kejadian itu. Punca kebakaran masih dalam siasatan.

Share This Article