HAZEM BANGKIT ISU AIR DAN KESESAKAN JALAN DI DUN SABAH

sabahheadlines
1 Min Read

SANDAKAN, 28 APRIL- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Datuk Haji Hazem Mubarak Tun Musa menarik perhatian sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah apabila membangkitkan isu bekalan air dan kesesakan jalan raya di daerah ini hari ini.

Ketika membahaskan ucapan dasar kerajaan negeri, beliau menegaskan bahawa masalah bekalan air yang sekian lama dihadapi penduduk Kampung Luboh akhirnya berjaya diselesaikan selepas tujuh tahun penantian.

Menurutnya, lebih 600 penduduk kampung berkenaan kini telah mula menikmati bekalan air bersih sejak minggu lalu.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas usaha ini walaupun proses mengenal pasti punca masalah mengambil masa yang agak lama,” katanya.

Dalam pada itu, Hazem turut menyorot isu kesesakan jalan raya yang disifatkannya sebagai unik di Sandakan.

Beliau menjelaskan bahawa kesesakan bukan tertumpu di kawasan bandar sebaliknya berlaku di laluan utama dari Gum-Gum hingga Batu 32.

Katanya, keadaan menjadi lebih buruk sekiranya berlaku kemalangan di sepanjang laluan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan agar segera mengenal pasti punca kelewatan pembinaan jalan lintas Libaran serta faktor yang menyebabkan laluan tersebut masih tidak dapat digunakan sepenuhnya.

Menurutnya, perkara itu perlu diberi perhatian serius bagi mengurangkan kesesakan dan meningkatkan kelancaran trafik di kawasan berkenaan.

Share This Article