KERAJAAN NEGERI LAKSANA PEMETAAN BUDAYA ETNIK 2026–2030 PERKASA WARISAN SABAH

sabahheadlines
2 Min Read

TUARAN,26 APRIL- Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor mengumumkan pelaksanaan inisiatif Pemetaan Budaya Etnik Sabah bagi tempoh 2026 hingga 2030 sebagai langkah strategik memperkukuh pemeliharaan warisan budaya negeri bermula tahun ini.

Beliau berkata, pelan pembangunan lima tahun itu bertujuan mendokumentasikan kepelbagaian etnik dan budaya Sabah secara lebih tersusun dan menyeluruh sekali gus menjadi rujukan penting bukan sahaja kepada generasi masa kini dan akan datang, malah kepada pelancong yang ingin mengenali keunikan negeri ini.

Ucapan beliau disampaikan oleh Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau ketika merasmikan Majlis Sodop Unduk Ngadau serta Pertandingan Akhir Randawi Tavantang Kaamatan (RTK) peringkat daerah di Shangri-La Rasa Ria, malam kelmarin.

Menurut Hajiji, penganjuran Majlis Sodop Unduk Ngadau sempena Pesta Kaamatan bukan sekadar acara memperagakan busana tradisional, sebaliknya menjadi medium memperkenalkan serta mengangkat keindahan warisan budaya suku kaum Kadazandusun, Murut dan Rungus kepada generasi muda.

Dalam pada itu, beliau turut memuji inisiatif penganjur memperkenalkan pertandingan RTK yang disifatkan sebagai platform berkesan dalam mencungkil bakat serta memupuk keyakinan dan ciri kepimpinan dalam kalangan belia.

“Pertandingan ini bukan sahaja menyerlahkan potensi generasi muda malah menjadi wadah melahirkan individu berwibawa yang mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negeri,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa Pesta Kaamatan merupakan warisan budaya yang amat bernilai kepada rakyat Sabah kerana mencerminkan sejarah serta tradisi masyarakat di samping menjadi simbol kesyukuran, perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk.

Sehubungan itu, katanya, sambutan berkenaan perlu terus dijadikan platform untuk menyatukan rakyat dalam kepelbagaian demi mewujudkan suasana kehidupan yang aman dan sejahtera.

Beliau berkata tema Kaamatan tahun ini, “Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian”, membawa makna mendalam dengan menekankan nilai kebersamaan, saling menghormati dan perpaduan yang menjadi tunjang kekuatan Sabah.

Hajiji turut berharap Pesta Kaamatan terus berperanan sebagai pentas mempromosikan kekayaan warisan budaya, produk pelancongan serta hasil pertanian negeri di samping memastikan kelangsungan minat terhadap budaya tempatan agar terus diwarisi oleh generasi akan datang.

Share This Article