LAHAD DATU, 24 APRIL – Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Polis Mohd Nazri Othman memaklumkan pasukannya berjaya menumpaskan cubaan penyelewengan kira-kira 10,000 liter minyak diesel dalam satu operasi khas Op Tiris di daerah ini, kelmarin.
Menurutnya, kejayaan itu hasil risikan serta pemantauan berterusan yang dijalankan oleh anggota PPM di kawasan Pantai Timur Sabah.
“Dalam operasi tersebut, sepasukan anggota telah menahan sebuah lori tangki jenis rigid di Jalan Paris 3 kerana berada dalam keadaan mencurigakan,” katanya.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan berkenaan tidak memaparkan sebarang pelekat pengesahan daripada depot sah, selain membawa muatan diesel dalam jumlah besar tanpa dokumen penghantaran yang lengkap.
Pemandu lori berkenaan gagal mengemukakan sebarang bukti berkaitan destinasi penghantaran bahan api tersebut sekali gus menimbulkan syak wasangka pihak berkuasa.
Seorang lelaki tempatan kemudian ditahan bagi membantu siasatan manakala lori bersama muatan diesel dirampas.
Mohd Nazri berkata, bahan api itu dipercayai cuba diseleweng untuk tujuan penyeludupan ke negara jiran.
“Anggaran nilai keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM51,200,” jelasnya.Kes berkenaan kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Beliau menegaskan PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperkukuh operasi penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti penyelewengan bahan api bersubsidi, khususnya di kawasan berisiko tinggi di Pantai Timur negeri ini.
