DUA SAHABAT HILANG DALAM INSIDEN BOT KARAM SEORANG DITEMUI LEMAS

sabahheadlines
3 Min Read

KOTA BELUD, 21 April – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) selama tiga hari berakhir petang tadi dengan penemuan mangsa terakhir dalam insiden bot karam di Kampung Tamau Batu Gadung, dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang, 19 April lalu, sebuah bot yang dinaiki lapan lelaki dilaporkan terbalik selepas dipukul ombak di muara sungai kampung berkenaan ketika mereka keluar memancing.

Menurut pihak bomba, seramai enam mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai manakala dua lagi dilaporkan hilang dan dipercayai lemas.

Pusat Gerakan Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud menerima panggilan kecemasan pada jam 6.19 petang sebelum jentera pertama tiba di lokasi kira-kira 15 minit kemudian.

Pasukan bomba segera menjalankan operasi SAR dengan menyusuri tebing sungai di sekitar lokasi kejadian bagi mengesan mangsa yang hilang.

Pada malam kejadian, seorang daripada mangsa, Mohammad Dzul Nazri Abdul, 18, ditemui oleh orang awam kira-kira satu kilometer dari lokasi bot karam sebelum dihantar ke Hospital Kota Belud untuk rawatan lanjut.

Operasi SAR kemudian diteruskan sehingga hari ketiga melibatkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), badan bukan kerajaan (NGO) serta orang awam.

Pada hari ketiga operasi, pasukan penyelamat membahagikan kawasan pencarian kepada tiga sektor meliputi pesisir kiri dan kanan pantai serta kawasan laut menggunakan bot.

Mangsa terakhir Mohammad Iqram Jumaat, 23, ditemui pada jam 2.45 petang di perairan Bira-Biraan, kira-kira empat kilometer dari lokasi bot dilaporkan karam.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak polis sebelum diserahkan untuk tindakan lanjut dan dibawa ke Hospital Kota Belud.

Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.15 petang.

Sementara itu, enam lagi mangsa yang terselamat dikenal pasti sebagai Shafie Mahadi (botman), 27,Mohd Ilham Abdul Amin, 20, Mohd Rafiqqin Roslan, 22,Jaidi, 18,Jacky Jolson, 27, dan Azridi Abdullah, 19.

Sepanjang operasi, seramai 13 anggota BBP Kota Belud bersama pelbagai aset termasuk lori, kenderaan pacuan empat roda dan bot penyelamat digerakkan bagi memastikan usaha pencarian berjalan lancar meskipun berdepan kekangan liputan komunikasi yang terhad di lokasi kejadian.

Share This Article