PEWARTAAN KAMPUNG, SUSUN SEMULA PERKAMPUNGAN DENGAN TERATUR

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN, 19 APRIL – Kebakaran besar yang memusnahkan penempatan di Kampung Bahagia di sini adalah disifatkan sebagai detik penting untuk merombak semula perancangan pembangunan kawasan itu ke arah lebih tersusun dan selamat.

Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata insiden berkenaan membuka ruang kepada usaha mempercepatkan pelaksanaan pelan pembangunan yang lebih sistematik susulan langkah kerajaan mewartakan kawasan itu sebagai tanah perkampungan.

Beliau yang juga menjelaskan pewartaan tersebut akan memudahkan perancangan semula penempatan penduduk, termasuk cadangan pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi menempatkan mangsa terjejas.

Menurutnya, perbincangan lanjut akan diadakan bersama kerajaan negeri bagi merealisasikan keperluan perumahan itu dalam masa terdekat.

“Kita komited membantu mangsa membina semula kehidupan mereka. Dengan status kampung yang sedang diwartakan, ia memberi laluan kepada pelaksanaan pembangunan termasuk PPR,” katanya selepas meninjau lokasi kejadian dan bertemu mangsa, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pelbagai agensi kini digerakkan bagi memastikan bantuan disalurkan secara menyeluruh dan teratur kepada semua mangsa yang terjejas.

Katanya, keutamaan ketika ini bukan sahaja tertumpu kepada bantuan segera, tetapi juga penyediaan penempatan semula yang lebih selamat dan terancang di kawasan sama.

Difahamkan, proses pewartaan penempatan atas air itu sedang berjalan dan melibatkan keluasan kira-kira 24 hektar.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi tadi, kebakaran besar memusnahkan hampir 90 peratus kawasan penempatan berkenaan.

Share This Article