KEBAKARAN DI KG BAHAGIA-KAWASAN DIISYTIHAR BENCANA

sabahheadlines
1 Min Read

SANDAKAN, 19 APRIL – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sandakan hari ini mengisytiharkan kejadian kebakaran di Kampung Bahagia sebagai bencana, susulan keadaan kediaman penduduk yang terjejas didapati tidak selamat untuk didiami.

Pengerusi JPBD Sandakan, Datuk Walter Kenson berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan dan cadangan jawatankuasa berkenaan hasil pemeriksaan di lokasi kejadian.

Sehubungan itu sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah diaktifkan bagi menempatkan mangsa terlibat.

“PPS di Dewan PPR Batu Sapi telah dibuka pada jam 7 pagi hari ini bagi menempatkan Penduduk Terjejas Bencana (PTB) dari Kampung Bahagia,” katanya di sini.

Beliau berkata, pengaktifan PPS adalah langkah segera bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa terjamin sementara menunggu pemeriksaan lanjut dijalankan.

Menurutnya, kawasan terjejas hanya akan dibenarkan diduduki semula selepas disahkan selamat oleh pihak berkuasa berkaitan.

Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak memasuki kawasan terjejas sehingga mendapat pengesahan rasmi bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan.

Sehubungan itu setakat jam 9.15 pagi Pusat Pemindahan PPR Batu Sapi Sandakan telah mendaftarkan seramai 89 Ketua Isi Rumah (KIR) dengan anggaran keseluruhan seramai 445 mangsa.

Setakat ini proses pendaftaran masih dilakukan oleh pihak KKM & APM.

Share This Article