PAMERAN SENI NEGERI KE-40 SEMARAKKAN SAMBUTAN HARI LAHIR RASMI TYT SABAH

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 18 APRIL — Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan menghadiri Majlis Perasmian Pameran dan Penyampaian Hadiah Karya Pilihan Tahunan Negeri Sabah (KPTNS) Ke-40 yang berlangsung meriah di Sipadan Hall 1, Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, malam tadi.

Program berkenaan dianjurkan bersempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-75 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Aman sekali gus menjadi platform menghimpunkan penggiat seni visual tempatan serta mengetengahkan karya terbaik dari seluruh negeri.

Majlis dimulakan dengan acara perasmian pameran diikuti sesi lawatan ke ruang galeri yang menampilkan pelbagai hasil seni kreatif. Turut dipersembahkan tayangan video khas sebelum acara kemuncak penyampaian hadiah kepada pemenang KPTNS edisi ke-40.

Anugerah yang dipertandingkan merangkumi beberapa kategori, iaitu Kategori A bagi peserta berumur 7 hingga 12 tahun, Kategori B (13 hingga 17 tahun) serta Kategori C yang terbuka kepada umum. Selain itu, penghargaan khas turut diberikan kepada sekolah dengan penyertaan terbanyak, guru inspirasi serta tokoh seni visual negeri.

Acara berkenaan mencapai kemuncaknya apabila Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Aman menyempurnakan perasmian penutupan sebelum menyampaikan cenderamata kenangan dan seterusnya bergambar bersama para jemputan.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pembantu Menteri, Dato’ Sri Dr. Anil Sandhu serta Setiausaha Tetap, Datuk Mansur Asun.

Penganjuran KPTNS dilihat terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh pembangunan seni visual di Sabah, di samping menyokong pertumbuhan sektor ekonomi kreatif serta mencungkil bakat baharu dalam kalangan masyarakat setempat.

Share This Article