INISIATIF PERALIHAN TENAGA BANTU SABAH TANGANI CABARAN KRISIS TENAGA

sabahheadlines
4 Min Read

KOTA KINABALU,17 APRIL- Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan langkah peralihan tenaga yang dilaksanakan Kerajaan Negeri menjadi strategi penting dalam menghadapi cabaran keselamatan bekalan tenaga serta tekanan kenaikan harga minyak global susulan konflik di Asia Barat.

Beliau berkata, inisiatif yang diterajui Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) sejak beberapa tahun lalu itu dilihat tepat pada masanya dalam membantu negeri ini mengurangkan kebergantungan terhadap sumber tenaga konvensional.

“Pendekatan ini bukan sahaja relevan dengan situasi semasa malah mampu memperkukuh daya tahan sistem tenaga Sabah dalam jangka panjang,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tenaga Sabah (MTS) pertama bagi tahun ini di Menara Kinabalu, pada Jumaat.

Menurutnya, kerajaan negeri komited memastikan keselamatan tenaga terus diperkasa menerusi pembangunan sumber tenaga yang seimbang dan mampan.

Beliau menjelaskan, antara langkah yang diberi keutamaan termasuk pemanfaatan sumber gas asli, pembangunan tenaga hidro, penggunaan teknologi Battery Energy Storage System (BESS) serta penerokaan projek Pumped Storage Hydro bagi penyimpanan tenaga berskala besar.

Katanya, usaha tersebut juga menyaksikan peralihan berperingkat ke arah penggunaan tenaga boleh baharu (TBB) dan gas asli sebagai alternatif kepada diesel serta Marine Fuel Oil (MFO).

Dalam pada itu, Hajiji berkata pembangunan sektor tenaga merupakan asas penting dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri khususnya dalam menarik pelaburan dan memperkukuh sektor perindustrian.

“Bekalan tenaga yang stabil dan berdaya saing akan menjadi pemangkin kepada perkembangan kawasan perindustrian strategik sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.

Mengulas pencapaian semasa, beliau memaklumkan Sabah mencatat beberapa perkembangan positif sepanjang 2025, termasuk penyiapan projek BESS berkapasiti 100 megawatt/400 megawatt jam pada Ogos tahun lalu yang kini menjadi antara sistem penyimpanan tenaga terbesar di Asia Tenggara.

Selain itu pengoperasian sambungan grid Sabah dan Sarawak pada Disember 2025 turut membolehkan import tenaga sebanyak 50 megawatt bagi menyokong keperluan bekalan elektrik negeri.

Dari segi kebolehpercayaan bekalan, prestasi turut menunjukkan peningkatan apabila indeks SAIDI berjaya dikurangkan daripada 416 minit pada 2024 kepada 338 minit pada tahun berikutnya.

Beliau berkata, pencapaian itu adalah hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk pengawal selia, utiliti serta pengendali sistem dalam menambah baik perancangan dan operasi bekalan elektrik.

Dalam perkembangan berkaitan kejadian runtuhan menara talian penghantaran 275kV Kolopis–Segaliud akibat bencana alam sebelum ini turut memberi pengajaran penting mengenai keperluan memperkukuh daya tahan grid khususnya di Pantai Timur Sabah.

Sehubungan itu usaha pembangunan penjanaan tenaga mampan di kawasan berkenaan serta pelaksanaan projek Southern Link dilihat penting bagi meningkatkan keboleharapan sistem grid negeri.

Pada mesyuarat sama MTS turut meluluskan beberapa langkah intervensi di bawah Jawatankuasa Elektrifikasi Luar Bandar Sabah (JELaS) bagi mempercepatkan pencapaian liputan bekalan elektrik penuh di kawasan luar bandar selaras dengan Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 (SERAMP 2040).

Hajiji turut mengumumkan pelantikan beberapa ahli baharu majlis itu termasuk Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam; Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick; serta Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Energy Corporation, Datuk Ir Ts Adzmir Abd Rahman.

Share This Article