PENYELIA BENGKEL DITAHAN DISYAKI CURI WANG RAKAN SEKERJA

sabahheadlines
2 Min Read

TAWAU, 15 APRIL- Polis daerah Tawau menahan seorang penyelia bengkel yang dipercayai terlibat dalam kes curi wang tunai milik rakan sekerja di sebuah kilang di Jalan Apas, di sini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Polis Jasmin Hussin mengesahkan penahanan itu selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan berjaya merakam perbuatan suspek sekali gus membantu siasatan pihak polis.

“Laporan polis diterima semalam dan hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai mengambil wang milik mangsa tanpa kebenaran ketika pejabat tidak beroperasi.

“Rakaman CCTV memainkan peranan penting dalam mengenal pasti suspek sebelum tangkapan dilakukan dalam tempoh singkat,” katanya.

Siasatan lanjut mendapati lelaki tempatan berusia 40 tahun itu dipercayai memasuki pejabat mangsa pada ahad lalu kira-kira jam 11.25 pagi walaupun premis berkenaan ditutup pada hujung minggu.

Kehilangan wang tersebut disedari mangsa, seorang wanita berusia 33 tahun kira-kira jam 7.30 pagi kelmarin selepas mendapati wang tunai yang disimpan di dalam laci meja kerjanya hilang sebelum membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Bertindak atas maklumat dan risikan sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah Tawau berjaya menahan suspek di kawasan kilang sama sekitar jam 10.30 pagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan. Semakan lanjut turut mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Dalam pada itu Jasmin menasihatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan kepercayaan yang diberikan di tempat kerja serta sentiasa mengamalkan integriti dalam menjalankan tugas.

Beliau turut mengingatkan bahawa perbuatan jenayah seperti mencuri boleh membawa implikasi undang-undang yang serius termasuk hukuman penjara.

Share This Article